MUAR: Polis akan mengemukakan hasil siasatan yang telah dikemas kini membabitkan Tan Sri Tommy Thomas kepada Pejabat Peguam Negara selepas kemas kini selesai.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata hasil siasatan itu melibatkan empat kertas siasatan berhubung buku 'My Story: Justice in Wilderness' ditulis bekas Peguam Negara itu serta satu kertas siasatan berhubung kenyataan Tommu pada satu forum 17 September lalu.
"Saya diberitahu bahawa rakaman percakapan Tan Sri Tommy telah pun kita laksanakan, juga dengan Dr Michael Jeyakumar Devaraj (Pengerusi Parti Sosialis Malaysia) dan ada beberapa perkara yang perlu pihak polis laksanakan.
"Ia ekoran arahan yang dikeluarkan Pejabat Peguam Negara untuk kita kemas kini perkara berkaitan siasatan yang kita dibuat.
"Jadi mungkin ada sedikit masa yang kita perlukan dan selepas ini, kita akan kemukakan balik semula kepada Pejabat Peguam Negara untuk mereka membuat keputusan dan meneliti kertas siasatan terbabit," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup Kursus Asas Tiger Platoon Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kem Batalion 6 PGA, dekat sini, hari ini.
Acryll Sani memaklumkan, percakapan Tommy direkodkan di Bukit Aman pada 27 Oktober lalu, manakala percakapan Jeyakumar dirakam pada 22 Oktober.
Katanya, percakapan kedua-dua individu itu akan diambil kira serta disekalikan dengan hasil siasatan buku, yang akan disekalikan sekali untuk dikemas kini.
"Kita buat semua, keterangan kita ambil, segala perkara yang berkaitan dengan apa yang ditohmahkan itu kita akan ambil kira dan kita akan serahkan kepada pihak Peguam Negara," katanya lagi.
Sebelum ini, Pejabat Peguam Negara dilapor memulangkan kembali kertas siasatan kepada Polis Diraja Malaysia pada Selasa lalu untuk dilengkapkan.
Tommy dan Jeyakumar juga dilaporkan dipanggil PDRM untuk dirakam percakapan berhubung dakwaan ke atas bekas Peguam Negara itu mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dalam sebuah forum bulan lalu. - BERNAMA