KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) akan menggunakan logo sendiri untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) ke-15.
Sumber parti itu yang dihubungi mengesahkan MUDA akan bertanding di lima kerusi Parlimen, dengan beberapa kerusi lain masih dalam fasa perbincangan dengan Pakatan Harapan (PH).
Selain Parlimen Muar yang dijangka mempertaruhkan Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, empat lagi kerusi bakal ditandingi MUDA adalah Parlimen Tanjung Karang, Kota Marudu, Kepala Batas dan Tanjung Piai.
"Ketetapan akan diumum malam ini. Setakat ini ada kerusi yang sudah diputuskan dan ada yang masih dibincang (dengan PH)," katanya merujuk Majlis Pengumuman Calon MUDA PRU15 dijadual berlangsung di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya, malam ini.
Pengumuman calon MUDA yang bertanding dalam PRU itu dijangka dibuat Timbalan Presiden MUDA yang juga Pengarah Pilihan Raya MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz.
Antara kerusi belum dimuktamadkan ialah Parlimen Tapah dan Sembrong yang masih dibincang dengan PKR.
Hasrat MUDA menyertai PH belum kesampaian, selepas PH hanya bersetuju parti itu membentuk pakatan pilihan raya menghadapi PRU15.
Kedudukan itu dilihat memberi cabaran besar kepada Syed Saddiq khususnya dalam usaha mempertahan Parlimen Muar pada PRU kali ini jika melihat kepada simulasi keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu, yang mana asaingan di kerusi itu kini lebih bertumpu kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Pada PRN Johor lalu, PH gagal mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani yang dimenangi pada PRU ke-14 lalu, selepas wujud peralihan pola undian ketara dalam kalangan pengundi kepada PN.
DUN itu kini disandang wakil rakyat PAS, Abdul Aziz Talib.
Satu lagi kerusi DUN di bawah Parlimen Muar iaitu DUN Sungai Balang dikuasai BN. Pada PRN Johor lalu, jumlah undi diperoleh PH di kerusi itu jatuh mendadak berbanding yang diraih pada PRU14, sekali gus memberi isyarat sukar untuk PH dan sekutunya meraih undi tinggi di kawasan ini pada PRU15.
Kerusi Parlimen Tanjung Piai, Tanjung Karang dan Kepala Batas adalah antara kubu kuat BN. Bagi Parlimen Kota Marudu, kedudukan penyandang yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, sukar digugat selepas berjaya mempertahan kerusi itu sejak PRU 1995.