KUANTAN: Seramai 63 rakyat negara ini, termasuk kanak-kanak yang terkandas di Arab Saudi sedang dalam proses untuk dibawa pulang.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata berdasarkan rundingan yang dilakukan semua mereka yang terbabit dijangka pulang ke negara ini pada minggu depan.
Katanya, setakat ini kerajaan sedang berbincang dengan Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur dan pihak berkuasa di negara itu.
"Kita cuba selesaikan dan kemungkinan mereka akan pulang ke Malaysia minggu depan.
"Sebenarnya, semua 63 orang ini mengerjakan umrah, tetapi mereka tinggal lebih masa yang menyebabkan timbul masalah. Oleh itu, kita berbincang untuk memastikan mereka dibawa pulang," katanya pada sidang media di Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota, di sini hari ini.
Berdasarkan kenyataan Wisma Putra pada 8 Oktober lalu, seramai 63 jemaah umrah itu terdiri 28 dewasa dan 35 kanak-kanak terkandas di Arab Saudi sejak Jun lalu.
Semua mereka dibawa ke Madinah oleh kumpulan tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah untuk mengerjakan ibadah umrah pada Mac lalu.
Bagaimanapun, mereka hanya berada di Madinah sehingga hari ini dan tidak pernah dibawa ke Makkah untuk menyempurnakan ibadah umrah.
Susulan pelanggaran undang-undang tempatan, ketua kumpulan tarekat terbabit diusir keluar oleh kerajaan Arab Saudi pada 20 Ogos lalu.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh, Kemboja berjaya membawa pulang lima rakyat negara ini yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja, semalam.
"Lima individu itu selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dari Siem Reap, Kemboja pada jam 12.05 tengah hari.
"Mereka diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan selanjutnya untuk membantu siasatan.
"Setakat semalam, kementerian merekodkan 453 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand.
"Daripada jumlah itu, seramai 269 orang dihantar pulang, manakala 52 orang lagi masih berada dalam depoh imigresen di empat negara berkenaan bagi proses selanjutnya," katanya.