ALOR SETAR: Mangsa banjir yang ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah di Kedah, meningkat kepada 269 mangsa membabitkan 88 keluarga setakat jam 12 tengah hari ini.
Ketua Bahagian Sekretariat, Jawatankuasa Pengurusan Bencana, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Muhammad Suhaimi Mohd Zain, berkata jumlah itu membabitkan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Suka Menanti di Alor Setar seramai 75 mangsa daripada 22 keluarga.
Selain itu, katanya mangsa di PPS SK Binjai dalam daerah Kubang Pasu seramai 86 orang daripada 26 keluarga, manakala penduduk yang ditempatkan pada tiga PPS sekitar daerah Baling iaitu SK Tanjung Pari, SK Sri Bayu dan SK Siong, seramai 108 mangsa daripada 40 keluarga.
"Setakat ini, anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah masih melakukan pemantauan di beberapa sungai yang dinaiki air dan penduduk di kawasan hampir dengan sungai diminta supaya mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya paras air sungai meningkat," katanya dalam satu kenyataan tengah hari ini.
Muhammad Suhaimi berkata, antara agensi yang terbabit menguruskan mangsa banjir adalah Pejabat Daerah, APM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).