IPOH: DAP dan AMANAH dilihat bertelagah berhubung calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong apabila kedua-dua parti menamakan calon untuk bertanding di kerusi itu hari ini.
Terdahulu, pagi tadi AMANAH mengumumkan Dr Muhaimin Sulam sebagai calon dan pada sebelah malam pula, DAP mengumumkan calon Badrul Hisham Badarudin.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, bagaimanapun menegaskan tidak akan berlaku pertembungan kerana pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) sudah membuat keputusan menyerahkan kerusi itu pada DAP.
"Tiada soal pertembungan di antara DAP dan AMANAH untuk calon kerusi DUN Changkat Jong.
"Ianya hanya satu calon PH di setiap kerusi dan kawasan yang kita tandingi, jadi tidak akan timbul soal kita bertembung antara satu sama lain," katanya pada sidang media selepas hadir pada Majlis Pengumuman Calon PH-DAP Perak di Hotel Kinta Riverfront di sini malam ini.
Anthony berkata, sebaliknya ia bermungkinan berlaku sedikit salah faham.
"Mungkin sedikit salah faham dan ianya boleh diselesaikan," katanya.
Sementara itu, AMANAH Teluk Intan dalam satu kenyataannya menyatakan kerusi DUN Changkat Jong kekal milik AMANAH.
Ketua AMANAH Teluk Intan, Ahmad Munzirie Ahmad Kabir berkata, pihaknya menerima banyak pertanyaan daripada pengundi di Changkat Jong Teluk Intan berkenaan kedudukan sebenar kerusi DUN itu yang akan ditandingi Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.
"Kita ingin menjelaskan bahawa penetapan semua kerusi yang ditandingi AMANAH mewakili PH adalah seperti yang diumumkan dalam Majlis Pengumuman Calon AMANAH Perak pagi tadi oleh Pengerusi AMANAH Perak merangkap Pengarah Pilihan Raya AMANAH Nasional.
"Di peringkat AMANAH Teluk Intan, kami tidak menerima sebarang perubahan membabitkan DUN Changkat Jong daripada Jawatankuasa AMANAH Negeri Perak mahupun kepemimpinan di peringkat nasional," katanya.
Beliau berkata, ia berikutan kedudukan DUN Pasir Bedamar yang berada dalam Parlimen Teluk Intan pun ditandingi oleh DAP dan kerusi Parlimen Teluk Intan juga ditandingi oleh DAP.
"Maka mengikut persefahaman bersama, bagi kerusi DUN Changkat Jong, persetujuan dicapai untuk diberikan kepada AMANAH berdasarkan komposisi dua kerusi DAP dan satu kerusi AMANAH," katanya.
Katanya, mesyuarat terakhir yang kami hadiri juga menetapkan DUN Changkat Jong adalah milik AMANAH dan calon yang dipersetujui di semua peringkat adalah Dr Muhaimin Sulam.
"Kesiapsiagaan jentera untuk DUN Changkat Jong juga sudah berada pada tahap yang terbaik dan kerja-kerja awal menghadapi tempoh berkempen sudah pun dibuat.
"Justeru, pertikaian atau perebutan kerusi Changkat Jong seharusnya tidak timbul dan harus dihormati oleh semua parti anggota dalam PH," katanya.
Media melaporkan, AMANAH hari ini mengumumkan senarai calon bagi enam kerusi Parlimen dan 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak untuk bertanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) dengan penampilan sehingga 60 peratus muka baharu.
Pengerusi AMANAH Perak, Datuk Asmuni Awi pada sidang media di sini, dilaporkan memaklumkan daripada enam calon kerusi Parlimen ditampilkan parti itu, tiga adalah muka baharu, manakala daripada 20 calon kerusi DUN pula, 12 adalah muka baharu termasuk sembilan orang muda.