AMPANG: Desas-desus Nurul Izzah Anwar akan meninggalkan Parlimen Permatang Pauh untuk bertanding di Ampang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak menjadi kenyataan apabila Naib Presiden PKR itu dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi disandangnya.
Nama Nurul Izzah dan kerusi bakal ditandinginya diumumkan pada majlis pengumuman calon PKR yang berlangsung di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), di sini malam ini.
Turut diumumkan, bekas Naib Presiden PAS dan Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Husam Musa yang menerajui gerakan 'Save Kelantan' dan pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor di Kelantan, akan bertanding di kerusi Parlimen Pasir Mas.
Ketua Wanita PKR, Fadlina Sidek pula dinamakan sebagai calon kerusi Parlimen Nibong Tebal, yang sebelum ini disandang bekas pemimpin PKR, Datuk Mansor Othman yang kemudian menyertai BERSATU.