AMPANG: Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengetuai misi PKR untuk mempertahan semula kerusi yang dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.
Nik Nazmi diumumkan PKR sebagai calon PRU bagi kerusi Parlimen Setiawangsa, sementara Saifuddin pula menjadi pertaruhan parti itu di kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu.
Sementara Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi Parlimen Lembah Pantai.
Beberapa pemimpin PKR yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang turut dinamakan semula bertanding kerusi yang disandang termasuk Wong Chen (Subang); Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam); Akmal Nasrullah Mohd Nasir (Johor Bahru) dan Nor Azrina Surip di kerusi Parlimen Merbok.
Penyandang kerusi Parlimen Pasir Gudang, Hasan Karim turut diumumkan calon selain Sim Tze Tzin (Bayan Baru), Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang), Rosnah Aluyai (Tangga Batu), William Leong (Selayang) dan P Prabakaran di Parlimen Batu.
Turut dicalonkan semula, Datuk Abdullah Sani yang akan bertanding di Parlimen Kapar, dijangka berdepan saingan Ketua Wanita PBM, Dr Daroyah Alwi serta Pengerusi BERSATU Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari.
Sementara bekas Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam pula diumum beralih ke kerusi Parlimen Kuala Langat.
Kerusi Parlimen Kuala Langat sebelum ini disandang Datuk Dr Xavier Jayakumar, namun beliau mengumumkan keluar PKR dan kini menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Sementara itu, ilmuwan agama, Nik Omar Nik Abdul Aziz dipertaruhkan PKR di kerusi Parlimen Pasir Salak.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR, Dr Zaliha Mustafa pula akan bertanding di Parlimen Sekijang sementara Ahli MPP PKR, Onn Abu Bakar di kerusi Parlimen Batu Pahat.