AMPANG: Bekas Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menjadi pertaruhan besar PKR untuk bertanding di kubu kuat UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Penyandang kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya di Melaka itu malam ini diumumkan sebagai calon untuk bertanding di kerusi Parlimen Bagan Datuk, iaitu kerusi disandang Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha pula dipertaruhkan PKR untuk 'berperang' di kerusi Parlimen Rembau.
Kerusi berkenaan dijangka akan ditandingi Timbalan Pengerusi BN dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Shamsul dikenali sebagai 'giant killer' PKR selepas menewaskan bekas Ketua Menteri Melaka pada PRU-13, Tun Mohd Ali Rustam.
Presiden PKR yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan dirinya bertanding di Parlimen Tambun di Perak.
Kerusi disandang Anwar iaitu Parlimen Port Dickson akan diambil alih oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Anwar akan berdepan saingan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.