KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarahkan untuk melengkapkan lagi kertas siasatan berkaitan buku 'My Story: Justice in Wilderness' tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata kertas siasatan sudah pun dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dan dipulangkan semula pada Selasa lalu.
"Kertas siasatan dipulangkan semula kepada PDRM dengan arahan supaya beberapa tindakan lanjut diambil bagi melengkapkan siasatan.
"Justeru, PDRM sedang dalam tindakan melengkapkan siasatan seperti mana arahan dan ia (kertas siasatan) akan segera dirujuk ke Pejabat Peguam Negara untuk nasihat dan arahan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 1 Oktober lalu, Noorsiah dalam kenyataan memaklumkan, PDRM sudah selesai merakam keterangan Tommy berhubung buku yang ditulisnya itu.
Beliau dilaporkan berkata, siasatan ke atas Tommy dibuat susulan laporan Pasukan Petugas Khas (STF) 'Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk My Story: Justice in the Wilderness' yang ditaklimatkan kepada Jemaah Menteri.
Perdana Menteri kemudian mengarahkan siasatan lanjut berkaitan perkara itu dilaksanakan dengan segera.
Noorsiah berkata, kertas siasatan yang sudah diperkemaskan kemudian dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara pada 3 Oktober lalu untuk arahan lanjut.
Siasatan dilakukan antaranya mengikut Seksyen 124(1) dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan, Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Pada 22 Oktober lalu, BH melaporkan laporan siasatan STF berkaitan buku berkenaan dinyahklasifikasi dan boleh diakses secara terbuka melalui laman sesawang rasmi Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Pada awal tahun lalu, Tommy menerbitkan buku itu namun menerima banyak kritikan daripada pelbagai pihak antaranya Jabatan Peguam Negara, peguam, ahli politik dan orang awam kerana didakwa mengandungi unsur hasutan, penghinaan dan fitnah.
Berikutan itu, polis menerima lebih 100 laporan terhadap Tommy berhubung penerbitan buku berkenaan.