KUALA LUMPUR: Ada pihak berpandangan pemilih bawah usia 21 tahun yang akan mengundi buat pertama kali pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) masih mentah dan belum matang untuk memilih pemimpin serta kerajaan bagi mentadbir negeri dan negara.
Mereka didaftar secara automatik sebagai pengundi dan setakat pertengahan bulan ini, dianggarkan ada kira-kira 1.14 juta belia bakal menggunakan mandat buat pertama kali, menyertai kelompok 21.1 juta keseluruhan pemilih dengan 1.4 juta adalah pengundi baharu.
Pendaftaran pengundi dalam kelompok usia berkenaan susulan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan usia layak mengundi dan menjadi calon pilihan raya kepada 18 tahun serta mendaftarkan golongan berusia sama sebagai pemilih secara automatik.
Pindaan itu yang diluluskan oleh Parlimen diwartakan dan berkuat kuasa pada Disember 2021. Apa yang akan menjadi asas penilaian mereka dalam memilih wakil rakyat dan kerajaan baharu pada 19 November nanti?
Bagi pelajar asasi undang-undang Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dengkil, Nur Aina Batrisya Mohd Aznan, 19, beliau akan membuat penilaian berdasarkan manifesto calon atau parti diwakili mereka.
"Undian saya akan berasaskan calon dan manifesto," katanya mengakui agak gemuruh untuk mengundi buat pertama kali, namun mendapat dorongan dan sokongan daripada ibu bapa.
Pelajar Ijazah Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam, Muhammad Amirul Abrar Abdullah, 24, pula teruja untuk mengundi pada PRU15, kali pertama untuknya menggunakan mandat memilih pemimpin negara.
"Saya cenderung untuk memilih parti berbanding calon kerana kita mahu satu barisan pemimpin daripada parti yang kuat dan kerajaan yang boleh mentadbir negara. Namun, pemilihan itu berdasarkan dasar siapa lebih menarik dan manifesto siapa lebih realistik" katanya.
Rakan sekampus, Mohamad Danish Jaffri, 23, berkata dia akan memilih calon berasaskan pelbagai faktor, terutama prestasi perkhidmatan kepada masyarakat serta pembaharuan atau peningkatan yang dicapai.
"Bagi saya, faktor parti diwakili calon juga penting kerana jika parti tidak bertanggungjawab, ada pemimpin melakukan penyelewengan dan sebagainya, sudah pasti menjejaskan rakyat dan negara.
"Ini kali pertama saya akan mengundi. Insya-Allah jika tiada halangan, saya akan pulang ke kampung halaman menunaikan kewajipan sebagai pengundi bagi kerusi Parlimen Padang Serai di Kedah," katanya.
Ditanya sama ada manifesto parti atau calon turut memberi kesan, beliau berkata, ia sekadar perancangan awal dan kerangka, namun tetap boleh mempengaruhi pengundi.
"Sebagai rakyat, perlu teliti dan peka dengan apa yang dijanjikan dalam manifesto, boleh kaji selidik sendiri. Manifesto perlu sesuai dengan keadaan semasa, bukan berjanji bulan dan bintang," katanya lagi.
Rakannya, Nur Muhammad Haikal Ramli, 24, berkata beliau akan menilai manifesto ditawarkan parti dan calon yang bertanding, selain kredibiliti peribadi calon untuk diangkat sebagai wakil rakyat.
"Saya akan menilai manifesto terlebih dahulu, adakah ia mampu untuk direalisasikan," katanya turut mengakui agak berdebar dan teruja untuk keluar mengundi kali pertama, selain bimbang tersalah membuat pilihan pada 19 November nanti.