Jumaat, 28 Oktober 2022 | 4:40pm
Antara kerusi yang dilabel PKR disandang ‘pengkhianat’ termasuklah di Parlimen Gombak, Ampang, Batu Pahat, Nibong Tebal, Indera Mahkota, Bandar Tun Razak, Segamat, Ranau, Puncak Borneo dan Saratok. Sementara kerusi lain termasuk yang disandang Ahli Parlimen dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU). - Foto hiasan NSTP
Antara kerusi yang dilabel PKR disandang ‘pengkhianat’ termasuklah di Parlimen Gombak, Ampang, Batu Pahat, Nibong Tebal, Indera Mahkota, Bandar Tun Razak, Segamat, Ranau, Puncak Borneo dan Saratok. Sementara kerusi lain termasuk yang disandang Ahli Parlimen dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU). - Foto hiasan NSTP

Misi PKR gempur kerusi 'pengkhianat' bakal terjawab malam ini

KUALA LUMPUR: Persoalan yang berlegar mengenai siapa barisan calon akan ditampilkan PKR bagi misi 'balas dendam' untuk menggempur serta merampas semula semua kerusi yang dilabel mereka disandang 'pengkhianat' akan terjawab malam ini.

Sungguhpun beberapa nama sudah diumumkan sebagai calon sebelum ini, sumber PKR yang dihubungi akui parti itu terpaksa membuat beberapa perubahan kecil menjelang pengumuman rasminya malam ini, bagi menjamin gelombang dan momentum sokongan akan terus kekal kepada parti itu.

"Semuanya akan diumumkan presiden malam ini. Tunggu malam ini yang rasmi dan muktamad," katanya ringkas.

Kerusi yang dilabel disandang 'pengkhianat' bagi mereka termasuklah di Parlimen Gombak, Ampang, Batu Pahat, Nibong Tebal, Indera Mahkota, Bandar Tun Razak, Segamat, Ranau, Puncak Borneo dan Saratok. Sementara kerusi lain termasuk yang disandang Ahli Parlimen dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Menteri Besar Selangor juga Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amiruddin Shari hampir pasti akan dicalonkan di Parlimen Gombak, untuk memberi saingan kuat kepada penyandang yang juga bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Bekas Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar pula dijangka dipertaruhkan parti itu untuk menggempur kerusi Parlimen Ampang yang disandang bekas Naib Presiden PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Zuraida dilihat berdepan situasi getir dalam saingan PRU kali ini selepas parti baru yang diasaskannya, Parti Bangsa Malaysia (PBM) berdepan perpecahan menjelang hari penamaan calon Sabtu depan, selain gagal mengikat sebarang kesepakatan politik dengan gabungan parti lebih dominan seperti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) serta Perikatan Nasional (PN).

Pertembungan sekurang-kurangnya empat penjuru dijangka berlaku di kerusi itu selepas BN juga akan meletakkan calon, dengan ura-ura menamakan pemangku Ketua Bahagian UMNO Ampang, Nadzim Ibrahim atau EXCO Pemuda UMNO, Datuk Shahrul Nasrun Kamaruddin, sementara PN pula dijangka menampilkan bekas Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman.

Di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak, PKR dijangka mempertaruhkan bekas Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang dilihat berpeluang cerah untuk menang, berikutan kerusi itu dianggap kubu mereka sejak beberapa penggal lalu. Kerusi itu kini disandang Datuk Kamaruddin Jaafar, yang turut mengikut jejak Azmin meninggalkan PKR pada Februari 2020.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada satu program parti di Pulau Pinang. - Foto hiasan NSTP/Danial Saad
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada satu program parti di Pulau Pinang. - Foto hiasan NSTP/Danial Saad

Beberapa pemimpin utama PKR lain hampir pasti mengekalkan kerusi yang pernah mereka sandang, termasuk Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli (Pandan); Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawagsa); Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Kulim Bandar Baharu); Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil (Lembah Pantai) serta Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR antaranya Wong Chen (Subang); Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam); Akmal Nasrullah Mohd Nasir (Johor Bahru) dan Nor Azrina Surip (Merbok); Hasan Karim (Pasir Gudang); Sim Tze Tzin (Bayan Baru) dan Prabakaran Parameswaran di Parlimen Batu.

PKR turut pertaruhkan muka baharu

Beberapa muka baru dijangka menjadi pertaruhan PKR untuk merebut kerusi Parlimen termasuk Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim di Parlimen Nibong Tebal, sementara timbalannya, Muhamad Kamil Abdul Munim dijangka bertanding di kerusi Parlimen Padang Rengas di Perak serta Ahli MPP PKR, Ooi Tze Min pula di Parlimen Sungai Petani.

Turut menjadi pertaruhan muka baru di peringkat persekutuan, Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek dijangka dinamakan untuk kerusi Parlimen Permatang Pauh, sementara Ahli MPP PKR, Zahir Hasan (Wangsa Maju), Timbalan Ketua Penerangan PKR, Datuk R Ramanan (Petaling Jaya) serta Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr N Sathia Prakash di kerusi Hulu Selangor.

Beberapa nama pula dijangka digugurkan dari senarai caon untuk bertanding kali ini termasuk Datuk Johari Abdul yang sebelum ini penyandang bagi kerusi Parlimen Sungai Petani, selain Maria Chin Abdullah di kerusi Petaling Jaya.

Dalam pada itu, nama penyandang yang dikekalkan atau pemimpin yang berpindah kawasan termasuk Datuk Abdullah Sani. Beliau dijangka kekal bertanding di Parlimen Kapar, dijangka berdepan saingan Ketua Wanita PBM, Dr Daroyah Alwi serta Pengerusi BERSATU Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari.

Sementara bekas Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam dijangka beralih kerusi ke Parlimen Kuala Langat sementara penyandang kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Samsul Iskandar Mohd Akin pula akan bertanding di kerusi Bagan Datuk, untuk memberi saingan kepada penyandang kerusi iaitu Pengerusi BN dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Selain itu, ilmuwan agama, Nik Omar Nik Abdul Aziz dan bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha yang diumumkan PKR sebelum ini dijangka dipertaruhkan masing-masing di kerusi Parlimen Pasir Salak serta Parlimen Rembau.

Sama ada Nik Omar akan ditentang penyandang kerusi Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman atau muka baru, ura-ura bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun akan diketahui sebaik BN mengumumkan barisan calonnya 2 November ini, sementara di Rembau, Jufitri hampir pasti akan berdepan saingan dari Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Presiden PKR yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengesahkan bertanding di Parlimen Tambun di Perak, dengan kerusi disandangnya iaitu Parlimen Port Dickson akan diambil alih Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Berita Harian X