Jumaat, 28 Oktober 2022 | 12:22pm

PRU15: AMANAH Perak umum calon, tampil 60 peratus muka baharu

IPOH: Parti Amanah Negara (AMANAH) hari ini mengumumkan senarai calon bagi enam kerusi Parlimen dan 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak untuk bertanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) dengan penampilan sehingga 60 peratus muka baharu.

Pengerusi AMANAH Perak, Datuk Asmuni Awi pada sidang media di sini, memaklumkan daripada enam calon kerusi Parlimen ditampilkan parti itu, tiga adalah muka baharu, manakala daripada 20 calon kerusi DUN pula, 12 adalah muka baharu termasuk sembilan orang muda.

Dalam senarai yang diumumkan, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang juga penyandang kerusi DUN Sungai Rapat, dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

Asmuni berkata, enam kerusi Parlimen dan 20 kerusi DUN bakal ditandingi AMANAH mewakili Pakatan Harapan (PH) di Perak adalah pertambahan berbanding empat kerusi Parliman dan 12 kerusi DUN yang ditandingi parti itu pada PRU14, empat tahun lalu.

Asmuni yang juga Pengarah Pilihan Raya AMANAH, berkata Naib Presiden, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi Parlimen Parit Buntar, sama juga dengan penyandang kerusi Parlimen Lumut, Dr Mohd Hatta Ramli.

Bagi kerusi DUN pula, katanya, beliau sendiri antara 20 calon disenaraikan dan akan bertanding mempertahankan kerusi DUN Manjoi.

Ditanya mengenai Nik Omar Nik Abdul Aziz, anak bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Asmuni berkata, beliau tidak mempunyai maklumat mengenai perkara berkenaan.

"Itu saya tak tahu, saya tak ada maklumat mengenainya, baik tanya dia sendiri," katanya.

Nik Omar sebelum ini diumumkan akan bertanding di salah satu kerusi Parlimen mewakili PH di Perak, namun di bawah kuota PKR dengan senarai penuh calon PKR dijadual diumumkan pada satu majlis di Ampang, Selangor, malam nanti.

SENARAI CALON PRU15 AMANAH PERAK

PARLIMEN

P56 Larut: Zolkarnain Abidin
P57 Parit Buntar: Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa
P59 Bukit Gantang: Fakhruldin Mohd Hashim
P67 Kuala Kangsar: Ahmad Termizi Ramli
P69 Parit: Nurthaqaffah Nordin
P74 Lumut: Mohd Hatta Md Ramli

DEWAN UNDANGAN NEGERI (DUN)

N01 Pengkalan Hulu: Mohd Saad Ismail
N04 Kota Tampan: Mohd Sabri Abdul Manaf
N05 Selama: Razali Ismail
N06 Kubu Gajah: Mohd Nazri Din
N08 Titi Serong: Muhammad Nakhaie Wahab
N11 Gunung Semanggol: Sheikh Khuzaifah Sheikh Abu Bakar
N12 Selinsing: Ahmad Saqif Ansarallah Ahmad Jihbaz Mokhlis
N14 Changkat Jering: Megat Shariffudin Ibrahim
N16 Kamunting: Muhd Fadhil Nuruddin
N20 Lubok Merbau: Zaiton Latiff
N23 Manjoi: Datuk Asmuni Awi
N35 Manong: Mohd Jamsari Mahamood
N39 Belanja: Mohd Ikhmal Mohd Iskandar
N44 Sungai Rapat: Datuk Seri Dr Mohammad Nizar Jamaluddin
N48 Ayer Kuning: Mohd Nazri Hashim
N50 Kampong Gajah: Mohd Syamsul Alauddin
N51 Pasir Panjang: Yahaya Mat Nor
N53 Rungkup : Ahmad Munzirie Ahmad Kabir
N56 Changkat Jong : Muhaimin Sulam
N59 Behrang : Khairol Najib Hashim

Asmuni (depan tengah) pada sidang media di Ipoh bagi mengumumkan senarai calon AMANAH Perak, hari ini. - NSTP/L Manimaran
Asmuni (depan tengah) pada sidang media di Ipoh bagi mengumumkan senarai calon AMANAH Perak, hari ini. - NSTP/L Manimaran
Berita Harian X