Jumaat, 28 Oktober 2022 | 12:06pm

Tawaran baharu politik negara

KUALA LUMPUR: Bagi menyesuaikan landskap politik semasa, parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) dilihat mengemukakan tawaran-tawaran baharu yang bukan saja memperjuangkan kepentingan rakyat, malah ke arah membentuk kepemimpinan negara.

Langkah reformasi politik ini yang ketara sekali kali ini ialah menonjolkan calon muka baharu, pemimpin muda serta kalangan profesional, termasuk tokoh berprofil tinggi yang bukan berlatar belakang politik.

Keadaan ini bagi pemerhati dan veteran politik ia agak berbeza dengan pilihan raya umum terdahulu yang lebih menonjolkan institusi parti, manifesto dan aku janji serta mengemuka calon-calon lama, termasuk yang dikitar semula yang disifatkan kurang realistik dalam perubahan zaman.

Lebih-lebih lagi, PRU15 ini membabitkan sekitar 21.17 juta pengundi dengan pertambahan hampir tujuh juta adalah pengundi baharu yang rata-rata mahukan tawaran 'lebih segar' dalam memperjuangkan permintaan mereka.

Antara parti yang mendahului membuat tawaran seperti ini ialah Barisan Nasional (BN) apabila menampilkan 21 calon muka baharu daripada 22 kerusi Parlimen di Selangor.

Hanya Pengerusi Perhubungan Negeri, Tan Sri Noh Omar kekal calon muka lama.

Antara calon baharu yang disebut-sebut bertanding Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT), Isham Jalil.

Ini sejajar dengan hasrat BN-UMNO yang menetapkan bahawa calon yang ditonjolkan untuk PRU15 yang dianggap 'ibu segala pilihan raya' terdiri 70 peratus muka baharu, mengambil pendekatan sama ketika mengharungi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini yang menyaksikan gagasan itu membolot kemenangan besar.

BN Johor dikatakan mengemukakan beberapa muka baharu akan bertanding di kerusi Parlimen di negeri yang pernah menjadi kubu kuat UMNO.

Nama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan dilaporkan tiada dalam senarai berkenaan, namun kemudian dinafikan Ahmad. Beliau disebut-sebut akan dibawa ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Antara calon muka baharu di Johor ialah Exco Pemuda UMNO, Noor Azleen Ambros; Ketua Pemuda UMNO Muar, Mohd Helmy Abd Latif dan Presiden Ikatan Anak Mersing (IAM) yang juga Setiausaha Sulit Kanan kepada Datuk Seri Dr Adham Baba, Muhammad Syukri Ibrahim.

Calon berprofil tinggi

Kelmarin, PKR mengumumkan tujuh calon berprofil tinggi dalam kalangan profesional dan berpendidikan tinggi termasuk anak bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat, Nik Omar sebagai calon PRU15.

Enam lagi calon adalah bekas Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Zainal Azman Abu Seman yang bertanding di Perak, bekas Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZa), Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan (calon PH Pahang) dan Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Dr Noraishah Abdul Aziz (calon PH Wilayah Persekutuan).

Seterusnya, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Saipolyazan Yusop (calon PH Selangor); bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha (calon PH Negeri Sembilan) dan pelajar doktor falsafah UM, Fathin Amelina Fazlie.

Gerakan Tanah Air (GTA) juga menyusul apabila mengumumkan dua selebriti sebagai calon mereka iaitu Dr Ahmad Idham Ahmad Nazri serta pelakon yang juga pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood, Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando Zawawi.

Turut dicalonkan aktivis organisasi Islam, Datuk Aminuddin Yahya, peguam dan aktivis sosial, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz atau Buzze Azam dari Parti PUTRA.

DAP pula mengumumkan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari, Young Syefura Othman, mempertahankan kerusi Parlimen Bentong dan beliau dijangka bertembung dengan bekas Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang diuar-uar mewakili BN.

Setakat ini, PAS, BERSATU yang bernaung dalam gagasan Perikatan Nasional (PN) masih belum jelas tawaran yang mahu dikemukakan. Namun, malam kelmarin Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang juga Presiden BERSATU, mengumumkan Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Radzi Jidin, sebagai calon gabungan itu bagi kerusi Parlimen Putrajaya menentang penyandang, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dari BN.

Ketika diajukan soal tawaran baharu parti-parti yang bertanding pada PRU15 ini, Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, tawaran calon saja masih tidak mencukupi, kecuali jika tokoh yang ditampilkan sudah mencipta nama besar, personaliti yang kukuh dan dikenali ramai.

Katanya, pengundi sekarang sudah matang terutama di kawasan bandar yang lebih rasional dan realistik menimbangkan tawaran yang diberikan.

"Apa pun, faktor parti itu masih lagi yang utama menjadi pilihan pengundi, bukan hanya calon. Ini kerana belum terbukti lagi mana-mana calon boleh mengatasi parti dalam pertimbangan pengundi.

"Lihat saja contoh dalam beberapa pilihan raya yang lalu, beberapa tokoh yang bertanding calon Bebas walaupun mereka dikenali, disukai ramai serta populis, mereka masih tidak mendapat sokongan," katanya.

Beliau menjelaskan, faktor 'parti' itu sendiri masih penting berbanding calon kerana seseorang yang bertanding perlu ada jentera dan sokongan ahli serta akar umbi.

"Namun, dalam kes tertentu ada individu yang sudah mantap kedudukannya, sudah dikenali ketokohan, kewibawaan dan diakui jasanya seperti kes Tan Sri Shahril Samad di Johor Bahru, walaupun atas tiket Bebas, beliau masih dipilih walaupun dalam PRU14 beliau gagal mempertahankan kawasan itu serta kalah kepada calon lebih muda dan muka baharu," katanya.

Raduan percaya bagi kawasan tertentu seperti Putrajaya, Lembah Pantai atau kawasan bandar lain, pengundi lebih rasional dalam membuat pemilihan yang mana mereka menilai berdasarkan merit calon.

Bagi kawasan luar bandar, pengundi katanya membuat pertimbangan berasaskan parti bukannya faktor calon selain tertarik kepada tawaran dan janji politik.

"Contohnya, jika Khairy Jamaluddin (Menteri Kesihatan) menjadi calon di Putrajaya, sudah tentu beliau boleh menang besar, namun di kawasan lain terutama sokongan 50-50 peratus, sukar untuk menentukannya," katanya.

Mengenai tindakan Pakatan Harapan (PH) yang meletakkan calon profesional serta berprofil tinggi dalam PRU15, Raduan berkata, formula itu pernah digunakan PAS, AMANAH dan PKR pada beberapa PRU dan pilihan raya kecil yang lalu.

"AMANAH dan PAS ada mengemukakan calon profesional, namun dalam PRU lalu hampir semua kecundang manakala UMNO masih terikat dengan amalan meletakkan calon dari Bahagian atau mereka yang menganggotai jawatankuasa parti," katanya.

Calon miliki kelebihan

Dalam kes penyandang jawatan yang melompat parti seperti calon PN dari BERSATU, beliau berkata, calon berkenaan juga ada kelebihan kerana mereka mendapat sokongan undi PAS selain faktor calon yang sudah banyak berjasa di kawasan diwakilinya.

Beliau memberi contoh kerusi Parlimen Jeli disandang Datuk Seri Mustapa Mohamad dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abd Aziz dan Ahli Parlimen, Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

"Perlu diingat dalam kes seperti Mas Ermieyati kita tidak boleh perlekehkan keupayaannya kerana dengan jawatan yang ada dalam kerajaan, sudah tentu beliau sudah menabur budi dan diingati rakyat atas jasanya di sana," katanya.

Mengulas isu sama, penganalisis politik Prof Datuk Dr Nasruddin Mohamed berkata, ada beberapa aliran mengenai pola pengundi pada PRU15 kali ini membabitkan kumpulan pengundi yang harus diambil kira parti yang bertanding.

Pertama katanya, kelompok terbesar pengundi, mungkin dalam anggaran 60 peratus cenderung melihat dan memilih berdasarkan pertimbangan parti yang bertanding.

"Kumpulan ini mempunyai sentimentalisme sangat mengukuh dalam kalangan pengundi berusia 40 tahun dan ke atas.

"Kelompok ini berlatarbelakangkan pendidikan sosial yang dipengaruhi secara jelas oleh pertimbangan jati diri bangsa, nasionalisme, patriotisme dan sentimen survival bangsa.

"Mereka tahu dan menghargai kedudukan parti seperti UMNO dalam konteks perjuangan survival bangsa manakala parti seperti PAS pula dilihat sebagai wadah memperjuang syiar Islam," katanya.

Beliau juga percaya kelompok berkenaan sudah sebati dan setia dengan perjuangan parti walaupun mereka bukan partisan.

Mengenai tawaran parti politik dengan meletakkan muka baharu yang muda dan profesional, beliau melihat tiada tawaran yang boleh dianggap mengagumkan pengundi.

"Pengundi mengharap sesuatu yang kepentingan mereka diperjuangkan secara langsung, misalnya isu menyediakan pekerjaan tetap, pemansuhan cukai tertentu dan kemudahan pembiayaan tertentu khusus untuk orang muda," katanya.

Veteran politik, Tan Sri Syed Hamid Albar pula berpendapat sebaliknya. Beliau menyifatkan langkah beberapa parti politik mencalonkan tokoh profesional, muka baharu dan muda sebagai satu perkembangan yang baik dan politik sihat.

"Ini satu yang baik apabila kita ada kumpulan calon muda dan profesional. Apa yang lebih utama ialah kita kena 'breakaway' atau pecahkan amalan politik lama dan masuk kepada politik masa depan.

"Orang muda, profesional dan bebas isu integriti ini lebih bertenaga tanpa legasi lampau. Lihat saja di United Kingdom (UK), Perdana Menterinya berusia 42 tahun. Di Malaysia, PRU kali ini adalah peluang untuk parti politik mengambil tindakan untuk berubah," katanya.

Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo pula berkata, pengundi sememangnya membuat penilaian ke atas parti terlebih dahulu berbanding calon.

Katanya, siapa calon itu menjadi pertimbangan kedua termasuk dalam kes calon guna semula termasuk mereka yang melompat parti.

"Bagi calon lompat parti saya percaya sokongan hanya 50-50, manakala pemimpin yang membuat 'comeback' kerana kalah pada PRU yang lalu jika mereka pemimpin dikenali dan ada jasa serta berpengaruh maka mereka akan dipilih kali ini," katanya.

Berita Harian X