Khamis, 27 Oktober 2022 | 9:48pm
Wong Tack (kanan) isytihar akan tanding sebagai calon Bebas di Parlimen Bentong selepas namanya digugurkan dan diganti Young Syefura Othman (kiri).
Wong Tack (kanan) isytihar akan tanding sebagai calon Bebas di Parlimen Bentong selepas namanya digugurkan dan diganti Young Syefura Othman (kiri).

'Dia letak saja borang, keahlian terlucut' - Setiausaha Agung DAP ingatkan Wong Tack

MELAKA: Penyandang kerusi Parlimen Bentong, Wong Tack berdepan tindakan tegas DAP, termasuk akan digugurkan keahlian parti sekiranya meneruskan hasrat bertanding atas tiket Bebas di kerusi terbabit pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, berkata tindakan itu sejajar dengan dasar parti yang menetapkan keahlian seseorang individu dalam DAP akan digugurkan secara automatik sekiranya bertanding atas tiket Bebas.

Beliau berkata, turut akan dibatalkan adalah cadangan parti berkenaan untuk menamakan Wong Tack sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Cameron Highlands.

"Memang satu daripada dasar DAP, mana-mana ahli parti yang bertanding atas tiket Bebas akan dilucutkan keanggotaannya serta-merta tanpa perlu menunggu surat rasmi dikeluarkan.

"Bagaimanapun, sekarang ini dia hanya nyatakan dan belum berlaku lagi. Saya harap dia tidak akan melakukannya (kerana) kalau pada hari penamaan calon, dia letak saja (borang) sebagai calon Bebas, keahliannya dalam DAP akan terlucut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya PH Parlimen Kota Melaka di Kota Laksamana di sini, hari ini.

Pada majlis itu, penyandang kerusi Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi terbabit.

Anthony Loke Siew Fook (atas kiri) bersama penyandang kerusi Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong (dua dari kiri) pada majlis pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Parlimen Kota Melaka di Kota Laksamana, petang tadi. - NSTP/AMIR MAMAT

Semalam, DAP menamakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari, Young Syefura Othman atau Rara sebagai calon di kerusi Parlimen Bentong.

Susulan itu, Wong Tack mengisytiharkan akan bertanding di Bentong sebagai calon Bebas selepas namanya digugurkan sebagai calon PH di kawasan itu.

Berita Harian X