Khamis, 27 Oktober 2022 | 7:41pm
Kenderaan terkandas dalam banjir kilat di hadapan Balai Polis Gua Musang, di sini, petang semalam. - Foto ihsan pembaca
Kenderaan terkandas dalam banjir kilat di hadapan Balai Polis Gua Musang, di sini, petang semalam. - Foto ihsan pembaca

Lebih 50 kenderaan terkandas banjir kilat laluan Gua Musang-Jeli

GUA MUSANG: Lebih 50 kenderaan terkandas di laluan Gua Musang-Jeli di hadapan Balai Polis Gua Musang susulan banjir kilat petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 petang itu juga, sebuah kereta jenis Produa Exora terperangkap di dalam banjir setinggi satu meter, manakala sebuah lagi pacuan empat roda dihanyutkan arus deras.

Saksi kejadian, Ahmad Aszro Mustafa, 33 , berkata ketika kejadian dia bersama seorang rakan dalam perjalanan dari Tanah Putih ke Taman Tropika.

"Sebaik sampai kira-kira jam 6.40 petang, paras air sudah naik setinggi satu meter. Di kiri kanan jalan lebih 50 kenderaan berhenti, semuanya tidak berani untuk meredah arus deras.

"Kejadian dipercayai berlaku kerana hujan lebat bermula kira-kira jam 6 petang, namun air surut selepas hujan berhenti sekitar jam 7.30 malam.

"Alhamdulillah semua selamat, walaupun terdapat sebuah kenderaan yang terkandas dalam banjir kilat terbabit," katanya.

Kenderaan terkandas dalam banjir kilat di hadapan Balai Polis Gua Musang, di sini, petang semalam. - Foto ihsan pembaca
Kenderaan terkandas dalam banjir kilat di hadapan Balai Polis Gua Musang, di sini, petang semalam. - Foto ihsan pembaca

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata hujan lebat bermula jam 6 petang itu menyebabkan air memenuhi saluran parit dan melimpah ke atas jalan.

"Banjir kilat berlaku selama 30 minit dan surut sejurus hujan berhenti sekitar jam 7.30 malam.

"Susulan kejadian itu, kerja mendalamkan saluran parit segera dijalankan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Gua Musang.

"Dua kenderaan yang menggunakan jalan itu terperangkap dalam banjir dan pihak Roadcare, Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) serta satu unit kereta peronda polis MPV ke lokasi untuk menunda kenderaan terbabit," katanya.

Berita Harian X