KUALA LUMPUR: Semakin menghampiri hari penamaan calon, nama-nama besar dalam kalangan parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), terus mencatur strategi dalam memastikan kejayaan misi menawan Putrajaya.
Langkah menawan seberapa banyak kerusi daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan kali ini dianggap misi 'hidup mati' yang kelihatan dimulakan pembangkang menerusi 'Langkah Menawan Perak' dengan menampilkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Parlimen Tambun, beralih tempat daripada Port Dickson.
Meskipun menyedari bakal memberi pelbagai implikasi, namun tindakan itu dipercayai sebagai usaha meneruskan kelangsungan gabungan pembangkang susulan perubahan dimensi politik bagi menguasai kerusi di Dewan Rakyat nanti.
Tidak dinafikan, strategi sedemikian juga mungkin menjadi senjata 'makan tuan' bagi beberapa figura besar politik tanah air, jika pengundi di tempat baharu enggan diwakili Ahli Parlimen yang bukan berasal dari kawasan berkenaan.
Anwar yang bakal berdepan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai penyandang kerusi Tambun, bertindak sedemikian kerana mahu menjadikan Perak sebagai negeri barisan hadapan PH, selain memastikan dapat mengekori prestasi gabungan itu di Selangor dan Pulau Pinang.
Mengekori Anwar, Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad dilaporkan akan bertukar gelanggang dari Parlimen Shah Alam ke Titiwangsa.
Penyandang kerusi Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula disebut-sebut 'berhijrah' ke Bandar Tun Razak, selain Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli membuat kemunculan kembali di Pandan.
Beri laluan muka baharu
Ahli Jawatankuasa DAP Johor, Yeo Bee Yin pula dijangka tidak mempertahankan Parlimen Bakri, sebaliknya memberi laluan kepada muka baharu. Beliau dikhabarkan akan kembali ke Selangor sebagai calon di kerusi Puchong.
Rentetan itu, penyandang kerusi Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo pula disebut-sebut dicalonkan di Damansara menggantikan penyandangnya, Tony Pua.
Menteri Besar Selangor yang juga Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) Sungai Tua, Datuk Seri Amirudin Shari pula dikatakan bakal membuat penampilan sulung bagi pertempuran kerusi Parlimen, dijangka menentang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Parlimen Gombak.
Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga ADUN Sikamat, Datuk Seri Aminuddin Harun mengikut jejak sama apabila bertanding mempertahankan kemenangan PH di Parlimen Port Dickson.
Terbaru, DAP pula mempertaruhkan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari, Young Syefura Othman, beralih ke Parlimen Bentong dalam misi untuk mempertahankan kerusi itu yang dimenangi pada PRU14 pada 2018.
Tidak kurang dengan Barisan Nasional (BN) yang jelas dengan strategi menampilkan lebih ramai muka baharu dalam menarik pengundi, terutama pengundi muda.
Perikatan Nasional (PN) pula tidak akan meletakkan calon yang bermasalah dan mempunyai kes mahkamah.
Namun, semakin hampir hari penamaan calon pada 5 November ini, BN dan parti lawan yang ingin bertanding 112 kerusi Parlimen pastinya terus mencongak strategi semasa serta mengambil kira strategi lawan.
Umpamanya, sehari dua ini desas-desus bahawa Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad dikatakan ingin bertanding di Parlimen Pontian yang kini disandang Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Ada kemungkinan kompromi dapat dicapai dengan Hasni bertanding di Tanjung Piai, Ahmad kekal di Pontian, manakala Datuk Wee Jeck Seng bertanding di Simpang Renggam, jika MCA Johor dapat dipujuk melepaskan Parlimen Tanjung Piai untuk bertukar ke Simpang Renggam yang kosong selepas GERAKAN menyertai PN.
Khairy berpindah kerusi
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang akan melepaskan kerusi Parlimen Rembau kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, disebut-sebut pula akan diletakkan di Selangor, bukannya di kerusi lain dalam Negeri Sembilan.
Mengupas pendekatan dan strategi berani parti-parti kali ini, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf, Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata peralihan kawasan seseorang penyandang kerusi tentunya akan mendedahkan mereka kepada risiko memakan diri sendiri.
"Ia sebenarnya memberi risiko kepada calon terbabit kerana ada sebahagian mereka mungkin nampak boleh menang di kawasan baharu, tetapi kalau tidak mengambil kira beberapa strategi lain, ia boleh menyebabkan mereka kecundang," katanya.
Justeru katanya, kebanyakan peralihan nama besar sesebuah parti perlu dibuat berdasarkan gabungan strategi undi popular bagi meraih sokongan golongan atas pagar atau tidak memilih parti secara mutlak, selain beberapa sentimen lain.
"Undi popular diperlukan bagi meningkatkan peratusan pengundian dan kerana ini kita boleh melihat sesetengah gabungan politik meletakkan nama besar di kawasan baharu dan memberi laluan kepada muka baharu untuk mengekalkan kemenangan di kawasan dimenangi pada PRU14.
"Strategi lain yang perlu diambil perhatian ialah dominasi politik Melayu dan Islam, parti gergasi, peratusan mengundi rendah serta calon muda juga tidak boleh dipandang remeh kerana ini akan memberi kesan signifikan terhadap sesebuah parti," katanya kepada BHBH.
Beliau berkata, strategi undi popular yang cenderung digunakan sesetengah gabungan dipercayai berikutan keadaan politik semasa yang pasif dan belum mencapai tahap matang sepenuhnya.
"Ini (undi popular) menjadi strategi pemimpin utama untuk meninggalkan kawasan disandang mereka yang juga kerusi selamat bagi sesebuah parti itu serta beralih ke Parlimen lain bagi memperluas jajaran mereka.
"Ia boleh menarik orang ramai untuk keluar mengundi, namun tidak dinafikan strategi ini juga mungkin berisiko kepada calon berkenaan yang mungkin tidak diterima pengundi di kawasan terbabit," katanya.
Parti sudah fikir risiko
Bagi Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Kartini Aboo Talib, agak sukar untuk mengandaikan strategi pemimpin utama berpindah ke kawasan baharu yang mungkin menjadi senjata 'makan tuan' biarpun mengakui keadaan sedemikian tidak mustahil berlaku.
Namun, katanya, parti atau gabungan politik biasanya sudah memikirkan semua risiko sebelum meletakkan calon mereka, sama ada untuk mengekalkan kemenangan di kawasan disandangnya atau beralih ke Parlimen lain.
Beliau turut mengakui strategi menampilkan muka baharu antara pendekatan berkesan yang boleh memberi keuntungan politik, namun perlu menggembleng tenaga memperkenalkan mereka di semua platform digital, media sosial dan media arus perdana.
"Ramai yang mahukan muka baharu kerana mereka berasa calon lama harus bersara, sama ada kerana telah muak atau mahu memulakan suatu lebih mantap.
"Ini kerana orang baharu lebih bersemangat, ada banyak idea baru dan menyantuni zaman semasa.
"Ini sekali gus akan menguntungkan sesebuah parti atau gabungan politik kerana orang baharu bersih dan belum terbabit dengan rasuah, skandal atau sebarang isu berbangkit," katanya.