GOPENG: Kru filem yang terperangkap di Gua Tempurung susulan air naik mendadak petang tadi, mengaku trauma dengan kejadian terbabit.
Seorang daripada kru tempatan yang terbabit dengan penggambaran filem itu, Muhd Aidilfitri Ilias, 20, berkata pengalaman terperangkap selama dua jam di gua amat mencemaskan.
"Kami trauma kerana tidak pernah kena macam ini (terperangkap), tetapi syukurlah semua berjaya keluar.
"Walaupun cuma dua jam, saya rasa terlalu lama dan perasan cemas serta takut bercampur-baur," katanya ketika ditemui pemberita di sini, malam ini.
Beliau berkata, suasana menjadi agak kelam-kabut sebaik mereka menyedari paras air naik dengan cepat.
"Kami mula terperangkap kira-kira jam 4 petang dan sebaik sedar air naik, kami yang di bawah terus kemaskan barang.
"Air naik ke paras pinggang begitu pantas," katanya sambil menambah mereka tiba di lokasi seawal jam 8 pagi dan berjaya diselamatkan kira-kira jam 6 petang.
Mohd Aidilfitri berkata, keadaan cuaca sebelah pagi amat baik sebelum hujan lebat mulai jam 3 petang yang mengakibatkan berlaku kepala air di laluan air berhampiran pintu keluar gua berkenaan.
"Waktu itu air dah cecah paras pinggang. Kami yang di bahagian bawah minta kru di bahagian atas segera hubungi pihak berkuasa untuk minta bantuan.
"Cemas dan takut semua ada, Tuhan sahaja yang tahu perasaan ketika itu," katanya yang menyertai kru produksi berkenaan sejak dua bulan lalu.
Seorang lagi kru, Mohd Fitri Shah Abdullah, 25, mengakui cemas kerana talian telefon tidak mempunyai liputan dan hanya bergantung kepada walkie talkie.
"Syukurlah kami semua selamat," katanya.
Dalam kejadian itu, seramai 30 kru penggambaran sebuah filem dilaporkan terperangkap di belakang Gua Tempurung sebelum berjaya dibawa keluar.