SUNGAI SIPUT: Barisan Nasional (BN) Perak yakin mampu memenangi sekurang-kurangnya 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi membentuk kerajaan dengan jumlah majoriti mudah.
Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohanad, berkata sasaran itu seperti pernah diperoleh pada PRU13 pada 2013 apabila UMNO berjaya menang 30 kerusi DUN, selain MCA yang turut berada dalam BN menang satu kerusi.
Bagaimanapun, beliau berkata, bagi pentadbiran yang baik dan lancar, BN perlu menang sekurang-kurangnya 34 kerusi DUN biarpun BN secara dasar menyasarkan bilangan majoriti dua pertiga iaitu 40 kerusi 'ditawan' BN daripada keseluruhan 59 kerusi DUN di Perak
"Jadi saya yakin kita boleh mengulangi situasi sama seperti 2013 sebab rakyat sudah belajar dan faham perlunya kerajaan yang kuat serta stabil," katanya selepas Majlis Sambutan Deepavali 2022 Perak di Dewan Konvensyen Sungai Siput, di sini, hari ini.
Hadir Sama, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan Ketua UMNO Bahagian Sungai Siput, Datuk Mohd Zolkafly Harun.
Sementara itu, Saarani berkata, pihaknya menyasarkan 15 kerusi Parlimen dapat ditawan BN pada PRU15 termasuk masing-masing tiga kerusi dimenangi BN pada PRU-14 lalu sebelum wakil rakyat di situ bertindak melompat parti; serta tiga kerusi kini disandang Pakatan Harapan (PH).
"Sejarah pada PRU14 lalu, kita menang 12 kerusi Parlimen termasuk tiga kawasan penyandangnya lompat parti iaitu Larut, Bukit Gantang dan Bagan Serai; jadi saya yakin pada PRU15 ini kita dapat tawan juga Tanjung Malim, Lumut serta Tambun," katanya.
Sementara itu, Saarani meminta rakyat menilai berhubung tuduhan kononnya kerajaan negeri diterajuinya tidak membentang, sekali gus masih belum meluluskan enakmen negeri mengenai larangan lompat parti sebelum pembubaran DUN Perak pada 17 Oktober lalu kerana BN ingin 'mencuri' ADUN bagi membentuk sokongan mencukupi dalam pembentukan kerajaan negeri selepas PRU15.
Beliau berkata, sejarah pada PRU14 sudah membuktikan gabungan parti pembangkang sebelum membentuk PH secara sah, yang mencuri dua ADUN BN bagi membentuk kerajaan negeri biarpun pada dasarnya BN ketika itu secara tunggal mempunyai bilangan kerusi besar iaitu 27 kerusi DUN.
"Ketika itu PH belum ada sijil (penubuhan rasmi) kerana gabungan parti pembangkang ketika itu hanya DAP sebanyak 19 kerusi, Parti Amanah Negara (AMANAH- 6 kerusi), PKR (3) dan BERSATU (1).
"'Jadi, BN secara tunggal ada bilangan kerusi terbesar ketika itu sebab kita bertanding hanya atas satu lambang sebelum dua ADUN BN kita dipelawa melompat parti sebelum mereka kemudiannya berada dalam PH," katanya.
Ditanya manifesto PRU15 BN Perak, Saarani berkata, ia hanya diumumkan selepas BN pusat mengumumkan manifesto, bagi membentuk kesejajaran dan 'keharmonian' antara manifesto peringkat negeri dan Persekutuan.
Katanya, agenda Perak Sejahtera 2030 yang sering diperkenalkan Kerajaan Perak ketika sesi atau program bertemu rakyat, sebelum ini juga turut dimasukkan sebagai sebahagian manifesto PRU15 BN Perak
"Bagi manifesto BN Perak ia memang sudah hampir siap dan sudah tentu kena sejajar dengan manifesto pusat, jadi kita kini sedang dalam proses memuktamadkannya.
"Sudah pasti Perak Sejahtera 2030 termasuk (manifesto) sebab saya Menteri Besar Perak pada 15 Jun lalu melancarkannya dan saya mesti teruskan usaha baik itu," katanya.