Selasa, 25 Oktober 2022 | 6:30pm

Ketua Menteri Pulau Pinang kekal bertanding PRU15?

BAYAN LEPAS: Persoalan sama ada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow terus mempertahankan kerusi Parlimen Tanjong atau tidak, dijangka diketahui hujung minggu ini.

Desas-desus berhubung perkara itu timbul apabila Kon Yeow dalam satu kenyataan kepada akhbar berbahasa Cina seolah-olah memberi bayangan beliau tidak berhasrat bertanding di kerusi Parlimen, namun keputusan muktamad mengenainya akan dibuat pucuk pimpinan parti.

Beliau yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata, pengumuman berhubung senarai calon dijangka dilakukan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pada hujung minggu ini.

"Kita dimaklumkan Loke akan berada di zon utara hujung minggu ini untuk mengumumkan senarai calon bagi Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Jadi di situ ada jawapannya," katanya selepas majlis Hari Pengiktirafan Dana Benih i4.0 Pulau Pinang di sini, hari ini.

Kon Yeow ketika disoal adakah beliau hanya bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), turut enggan mengulas lanjut.

"Tunggu hujung minggu. Jangan tanya soalan tidak dapat dijawab. Hasrat sekarang sudah disampaikan kepada pusat. Setiausaha Agung akan umumkan, itu tanggungjawab Loke (untuk umum)," katanya.

Kon Yeow yang memenangi kerusi Parlimen Tanjong dengan majoriti undi 29,599 mengakui pada pilihan raya lalu, beliau pernah berkata PRU14 menjadi pilihan raya kedua terakhir atau yang terakhir.

"Melihat kembali kenyataan media pernah saya katakan, PRU14 adalah pilihan raya yang kedua akhir kalau tidak (menjadi yang) terakhir. Hasrat saya masih sama," katanya.

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota sejak 2008 mengetuai kerajaan negeri selepas parti gabungan Pakatan Harapan (PH) memenangi 37 daripada 40 kerusi DUN Pulau Pinang pada PRU14.

Beliau menyandang kerusi Parlimen Tanjong bermula 1999 hingga 2013 untuk memberi laluan kepada Ng Wei Aik yang memenangi kawasan berkenaan pada PRU13 sebelum kembali bertanding di Parlimen Tanjong pada PRU14.

Diminta mengulas manifesto DAP pada PRU15 bagi kerusi Parlimen di Pulau Pinang, beliau berkata, terdapat isu membabitkan negeri ini turut dimasukkan dalam manifesto berkenaan.

"Kami perlu bercakap mengenai isu negeri kerana rakyat ingin mengetahui mengapa perlu memilih PH, jadi kami akan mengetengahkan isu rakyat (dalam manifesto)," katanya.

 Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pada sidang media hari ini. NSTP/MIKAIL ONG
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pada sidang media hari ini. NSTP/MIKAIL ONG
Berita Harian X