JERTIH: Sebanyak 110 kilogram (kg) pukat hantu dikutip sekumpulan penyelam di sekitar kawasan terumbu karang di Pusat Taman Laut Pulau Perhentian di sini.
Pembantu Perikanan Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Pejabat Taman Laut Daerah Besut Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Nazrul Azlinshah Ahmad Nazmi, berkata kesemua pukat itu ditemui di dasar laut sepanjang Program Ghost Net yang diadakan selama tiga hari bermula Sabtu lalu.
Beliau berkata, seramai 20 penyelam daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta menyertai program berkenaan dalam usaha memelihara sumber dan ekosistem laut.
"Program ini bertujuan untuk memelihara kawasan terumbu karang yang rosak akibat pukat hantu yang menjadi ancaman kepada haiwan marin di dasar laut.
"Ini antara usaha kita untuk melindungi kawasan terumbu karang terutamanya di lokasi perlindungan marin supaya terumbu karang di Pulau Perhentian tidak pupus.
"Pukat hantu yang dikutip dilupuskan di kawasan pelupusan sampah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Nazrul Azlinshah berkata, selain pukat hantu yang terdiri daripada jaring dan tali lama, pihaknya turut mengutip pelbagai sampah lain seperti guni dan plastik yang ditemui ketika aktiviti selaman dilakukan.
Beliau turut berharap program berkenaan dapat diadakan setiap tahun dalam usaha memelihara sekali gus memastikan hidupan laut tidak terancam.