KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menzahirkan ucapan takziah kepada penyandang kerusi Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, atas pemergian ibunya, Datin Salamah Sheikh Ahmad.
"Bagi pihak Keluarga Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah kepada YB Datuk Seri Azalina dan keluarga atas kehilangan bonda yang tersayang.
"Semoga Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan roh mereka yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah," kata Ismail Sabri dalam catatan di laman Facebook, hari ini.
Salamah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, pagi tadi manakala jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara selepas solat Zuhur.
Julai lalu, bapa Azalina, Datuk Othman Said, meninggal dunia pada usia 89 tahun di kediamannya di Kelana Jaya, Selangor kerana sakit tua. – BERNAMA