Selasa, 25 Oktober 2022 | 12:54pm
Datuk Seri Dr Maximus Ongkili
Datuk Seri Dr Maximus Ongkili

PRU15: Maximus dicabar dua bekas rakan di Kota Marudu

KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang dijangka mempertahankan kerusi Parlimen Kota Marudu bakal berdepan dua bekas rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan kementerian diketuainya sebelum ini.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu awal-awal lagi dicabar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Datuk Wetrom Bahanda melalui tindakan keluar BERSATU pada pertengahan bulan ini semata-mata mahu bertanding di kerusi Parlimen Kota Marudu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau adalah antara tiga kawasan DUN dalam Parlimen Kota Marudu, selain Tandek dan Matunggong yang diketuai Maximus selaku Timbalan Pengerusi GRS dan Penyelaras GRS Kota Marudu.

GRS merangkumi kerjasama di antara PBS, BERSATU, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Niat Wetrom itu didedahkan Timbalan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah yang juga Setiausaha Agung GRS, Datuk Masidi Manjun, selepas Wetrom dilihat menghadiri program parti pembangkang anjuran Parti Warisan (WARISAN) di Matunggong, Kudat pada 15 Oktober lalu.

Bagaimanapun, Wetrom akhirnya membuat keputusan menyertai Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang dipimpin bekas Naib Presiden WARISAN, Datuk Peter Anthony yang kemudian mencalonkan namanya untuk berdepan dengan Maximus di kerusi Parlimen Kota Marudu.

Pada sidang media bersama Peter baru-baru ini, Wetrom berkata keputusannya keluar daripada GRS-BERSATU untuk bertanding pada PRU15 sejajar dengan kehendak majoriti rakyat di Kota Marudu yang mahukan perubahan.

Sejurus diterima sebagai ahli KDM, Wetrom yang turut meletakkan jawatan sebagai Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah kemudiannya dilantik Timbalan Presiden parti itu bagi kuota Bumiputera Islam.

Sementara itu, bekas Duta Besar Malaysia ke Jordan, Datuk Jilid Kuminding dinamakan sebagai calon WARISAN di Kota Marudu seperti diumumkan Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada program jelajah parti itu baru-baru ini.

Jilid yang berasal dari Tandek, Kota Marudu dan bersara pada Januari lalu pernah menjadi Setiausaha Sulit Kanan kepada Maximus ketika memegang portfolio Menteri Perpaduan dan Integrasi Nasional pada 2004.

Sebelum dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Jordan pada 2017, Jilid juga pernah dilantik sebagai Konsul Jeneral Malaysia ke Hong Kong pada 2010 dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Papua New Guinea pada 2013.

Maximus yang menyandang kerusi Parlimen Kota Marudu sejak 1995 sudah hampir pasti dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi berkenaan mewakili blok kerajaan atas tiket GRS selepas Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor menyatakan jaminannya pada Program Jelajah GRS Kota Marudu baru-baru ini.

Hajiji berkata, sumbangan Maximus masih diperlukan dalam meneruskan perjuangan menuntut hak Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) selain pelan pembangunan yang dirangka untuk kawasan Kota Marudu.

Pada PRU15, GRS bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi mengelak pertembungan atas dasar menjaga keharmonian pentadbiran kerajaan negeri yang dibentuk kedua-dua gabungan itu selepas memenangi Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) pada 2020.

Dalam pada itu, PKR turut dijangka meletakkan calon di Kota Marudu atas tiket Pakatan Harapan (PH), yang kemungkinan digalas Ketua Cabangnya, Sazalye Donol, menjadikan kerusi berkenaan bakal menyaksikan sekurang-kurangnya pertembungan empat penjuru.

Berita Harian X