Isnin, 24 Oktober 2022 | 5:27pm

Inisiatif untuk peserta industri kreatif dalam Bajet 2023 akan dilaksanakan

HULU KLANG: Inisiatif kepada peserta industri kreatif negara seperti yang diumumkan dalam Bajet 2023 akan dilaksanakan sekiranya Barisan Nasional (BN) kekal sebagai kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selain itu, Perdana Menteri turut memberi komitmen untuk menyelesaikan isu royalti bagi industri perfileman.

Katanya, Bajet 2023 yang memperuntukkan RM152 juta kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), perlu dibentangkan semula dan diluluskan di Dewan Rakyat selepas PRU15 untuk memastikan ia dapat dilaksanakan.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan pimpinannya yang bertanggungjawab merangka Bajet 2023, perlu dipilih semula dalam pilihan raya berkenaan.

"Ini bukan saya letak syarat, tapi apabila Bajet 2023 dibentangkan sebelum ini, ia tak sempat dibahaskan. Ikut peraturan, kita perlu bentang dan luluskan di Dewan Rakyat.

"Ini bukan manifesto, ini bajet yang sudah ada sumber kewangan untuk dilaksanakan. Kalau manifesto, itu hanya janji dan belum ada bajet.

"Jadi terserahlah apa yang perlu dibuat. Ini bermakna bagi membolehkan Bajet 2023 dibentang dan dilaksanakan, kerajaan yang saya terajui perlu dipilih sekali lagi," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Ekspresi@FINAS di sini, hari ini.

Bajet 2023 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober lalu antara lain memperuntukkan dana RM50 juta untuk Dana Khas Kandungan Kreatif Kenegaraan (DEKAN); RM102 juta untuk Dana Kandungan Digital; potongan cukai bagi sumbangan kepada Tabung Komuniti Filem dan Pembangunan Filem FINAS.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerima buku biografi pelakon Allahyarham Hussein Abu Hassan yang disampaikan pelakon, Faizal Hussein pada majlis perasmian penutup Ekspresi@FINAS di Kompleks Studio Merdeka Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia, Hulu Kelang. Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (kanan). - NSTP/Asyraf Hamzah

Selain itu, pengecualian duti import dan cukai jualan bagi peralatan studio dan produksi penggambaran serta 80 peratus caruman ditanggung kerajaan bagi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk penggiat seni FINAS yang hanya perlu membayar caruman 20 peratus.

Berhubung isu royalti perfileman, Ismail Sabri mahu ia diteliti semula selepas perbincangan mengenainya pernah dilaksanakan ketika beliau menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Katanya, perbincangan itu selepas beliau berjaya menyelesaikan isu mengenai bayaran royalti kepada penyanyi dan komposer menerusi pindaan Akta Hak Cipta 1987.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersalaman dengan tetamu selepas majlis perasmian penutup Ekspresi@FINAS di Kompleks Studio Merdeka Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia, Hulu Kelang. - NSTP/Asyraf Hamzah

"Waktu itu saya bincang sama ada perlu ada akta atau dipinda akta berkaitan supaya dapat membantu pelakon, pengarah, khususnya ketika itu kecoh mengenai kesusahan kehidupan anak Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

"Sedangkan waktu itu, filem P Ramlee ditayang setiap minggu di televisyen, tapi mereka tak dapat apa-apa kerana hak itu sudah dijual kepada Shaw Brothers ketika itu.

"Sekarang, saya minta ia dilihat semula bagi membela hak pelakon, kerana ada yang dah berumur, hadapi masalah sara hidup. Jika mereka dapat royalti berterusan, tentu saja mampu menjaga kepentingan mereka di hari tua," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan pada majlis perasmian penutup Ekspresi@FINAS di Kompleks Studio Merdeka Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia, Hulu Kelang. - NSTP/Asyraf Hamzah

Berita Harian X