Isnin, 24 Oktober 2022 | 5:10pm
Laporan Pasukan Petugas Khas (STF) siasatan pelbagai dakwaan dalam buku ‘My Story: Justice in the Wilderness’ tulisan Tan Sri Tommy Thomas kini boleh diakses secara terbuka melalui laman sesawang rasmi BHEUU.
Laporan Pasukan Petugas Khas (STF) siasatan pelbagai dakwaan dalam buku ‘My Story: Justice in the Wilderness’ tulisan Tan Sri Tommy Thomas kini boleh diakses secara terbuka melalui laman sesawang rasmi BHEUU.

Laporan siasatan buku Tommy Thomas: Syor asing peranan pendakwa raya, AG wajar

KUALA LUMPUR: Cadangan Pasukan Petugas Khas (STF) siasatan ke atas dakwaan dalam buku memoir Tan Sri Tommy Thomas agar peranan pendakwa raya dan Peguam Negara (AG) diasingkan, mampu membebaskan sistem perundangan Malaysia daripada polemik politik dan tanggapan negatif.

Bekas presiden Badan Peguam Malaysia, Salim Bashir, berkata cadangan itu juga mampu memastikan wujudnya ketelusan dalam sistem perundangan negara yang ketika ini berdepan tanggapan negatif masyarakat sehingga menjejaskan integritinya.

Salim berkata, cadangan itu perlu bagi membolehkan kelangsungan integriti badan perundangan dan mengelakkan sebarang tanggapan negatif yang tidak berasas dari mana mana pihak.

Salim Bashir.
Salim Bashir.

"Sehubungan itu, syor supaya peranan AG sepatutnya terhad kepada menasihati Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan dalam hal ehwal undang-undang, adalah wajar," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas cadangan STF berkenaan dalam laporan 225 muka surat hasil siasatan terhadap dakwaan dalam buku 'My Story: Justice in the Wilderness' yang kini didedahkan kepada awam apabila Kabinet menyahklasifikasikan hasil siasatan itu pada 13 Oktober lalu.

STF juga mengesyorkan Tommy disiasat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan (membocorkan maklumat) dan Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1072.

Bashir menambah, sekiranya terdapat sebarang pelanggaran undang-undang yang terbit daripada laporan itu, maka ia perlu melalui proses aturan undang-undang.

"Orang ramai boleh meneliti kandungan laporan petugas khas itu secara objektif dan adil kepada semua pihak yang terbabit. Bagaimanapun, kita tidak sepatutnya merumuskan apa-apa tanpa fakta dan bukti yang betul," katanya.

Semalam, BH melaporkan, STF siasatan terbabit antara lain mencadangkan Jabatan Audit Negara (JAN) serta agensi lain menjalankan audit serta siasatan lain mengenai kemungkinan salah laku Tommy sepanjang menjadi AG.

Ia menegaskan, siasatan perlu memberi tumpuan terhadap pelbagai perkara dan tidak dihadkan kepada pendakwaan kes berprofil tinggi, pelantikan peguam luar dan penubuhan tribunal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Audit dan siasatan berkenaan juga bagi menentukan jika ada pekeliling atau arahan dikeluarkan bekas AG yang bertentangan dengan jawatan sebagai penjawat awam.

STF itu turut mengesyorkan agar peranan pendakwa raya diasingkan daripada AG kerana peranan AG sepatutnya terhad kepada menasihati Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan dalam hal ehwal undang-undang.

Selain menentukan sama ada sesuatu kes boleh didakwa dan menjalankan pendakwaan, pasukan petugas khas itu berkata, pendakwa raya seharusnya boleh menasihati Agong dan Raja-Raja mengenai pemberian pengampunan atau kurangkan hukuman.

Laporan STF siasatan itu kini boleh diakses secara terbuka melalui laman sesawang rasmi Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Orang ramai boleh mengakses laporan dalam bahasa Inggeris mengandungi 225 muka surat itu selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 13 Oktober lalu mengumumkan kerajaan menyahklasifikasikan laporan berkenaan.

Berita Harian X