HULU KELANG: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan komitmen untuk meneliti isu royalti industri perfileman, khususnya jika Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan beliau kekal sebagai Perdana Menteri.
Perdana Menteri menegaskan, amat memahami isu berkenaan yang membelenggu pemain industri perfileman memandangkan beliau sendiri sudah memulakan usaha menyelesaikan isu berkenaan ketika menjadi Menteri Perdagangan Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
Sehubungan itu, beliau mahu perkara itu kembali diteliti semula jika rakyat memberi mandat kepada BN untuk menjadi kerajaan dan beliau kembali dilantik sebagai Perdana Menteri selepas PRU15 pada 19 November ini
"Ketika itu, saya ada wujudkan jawatankuasa membabitkan wakil perfileman dan drama untuk lihat isu dalam industri, selepas isu royalti untuk penyanyi dan komposer diselesaikan dengan pindaan Akta Hak Cipta 1987.
"Ini kerana pelakon hanya dibayar sekali saja sewaktu mereka terima tawaran berlakon. Kalau filem mereka ditayang beratus kali pun, tiada royalti kepada pelakon, pengarah dan penerbit.
"Contohnya filem Mat Kilau. Kalau 100 tahun nanti pun masih ditayangkan filem Mat Kilau, pelakon tak dapat apa-apa. Filem Allahyarham P Ramlee juga ditayang setiap minggu di televisyen, tapi keluarganya tak dapat apa-apa dan hidup susah kerana tiada akta yang mengikat syarikat televisyen untuk bayar royalti kepada pelakon, penerbit, pengarah dan sebagainya.
"Sekarang, saya minta ia dilihat semula bagi membela hak pelakon, kerana ada yang sudah berumur, hadapi masalah sara hidup. Jika mereka dapat royalti berterusan, tentu saja mampu menjaga kepentingan mereka di hari tua," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Penutup Program Ekspresi@FINAS, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Seri Zurainah Musa.
Terdahulu, Perdana Menteri meluluskan peruntukan RM100,000 untuk Tabung Khas Pembangunan Industri Filem (TAKZIM), yang dimohon oleh Zurainah.