KUALA LUMPUR: Perdana Menteri dan menteri Kabinet serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada seluruh rakyat Malaysia beragama Hindu yang menyambut perayaan itu esok.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi catatan di Facebooknya mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua Keluarga Malaysia beragama Hindu yang meraikannya esok.
Beliau berharap perayaan itu akan memekarkan lagi perpaduan antara rakyat.
"Semoga pesta cahaya ini memekarkan lagi perpaduan, menyimpulkan ikatan tali perhubungan antara Keluarga Malaysia dan keharmonian sesama kita.
"Saya yakin, perayaan Deepavali pada tahun ini disambut dengan lebih meriah bersama-sama keluarga dan rakan taulan yang tersayang," menurut catatan itu.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berharap sambutan tahun ini membawa kegembiraan dan kebahagiaan kepada semua.
"Selamat menyambut perayaan Deepavali buat mereka yang beragama Hindu dan Keluarga Malaysia," katanya menerusi catatan di Twitter.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menerusi catatan di Twitternya berkata, sambutan Deepavali meraikan keharmonian masyarakat serta memupuk semangat muhibah dan persefahaman yang unggul berpaksikan budaya hormat-menghormati.
"Berlandaskan semangat jitu dan murni ini, marilah kita memperkukuh asas keutuhan masyarakat yang stabil dan makmur bertunjangkan keamanan, keadilan, kebahagiaan dan keluruhan martabat rakyat," katanya.
Beliau berkata, Deepavali turut mengingatkan pentingnya usaha pembangunan sosioekonomi rakyat, penciptaan kekayaan untuk pengagihan yang lebih saksama dan menjana kemakmuran untuk dikongsi bersama.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof pula berharap perayaan itu membawa kesejahteraan kepada semua, selain mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan keharmonian Keluarga Malaysia.
Sementara itu, Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) dalam kenyataan menyifatkan Deepavali seumpama perayaan lain yang menyatukan semua individu, yang boleh mewujudkan keamanan dan keharmonian yang menjadi elemen utama kestabilan negara. – BERNAMA