Ahad, 23 Oktober 2022 | 5:56pm
Maszlee pada majlis Pelancaran Jentera P151 Parlimen Simpang Renggam, Ketua Zon dan Ketua Pusat Daerah Mengundi di perkarangan Pejabat PKR Simpang Renggam di Kluang, hari ini. NSTP/Mohamad Fahd Rahmat
Maszlee pada majlis Pelancaran Jentera P151 Parlimen Simpang Renggam, Ketua Zon dan Ketua Pusat Daerah Mengundi di perkarangan Pejabat PKR Simpang Renggam di Kluang, hari ini. NSTP/Mohamad Fahd Rahmat

Maszlee terbuka terima saingan pada PRU15

KLUANG: Penyandang kerusi Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik menyambut baik amalan sistem demokrasi dalam negara ini dan terbuka menerima saingan daripada mana-mana pihak jika terpilih sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bekas Menteri Pendidikan itu berkata, apa yang penting adalah rakyat diminta keluar beramai-ramai untuk mengundi nanti.

"Setiap parti mempunyai perkiraan mereka dan bagi pihak kita, sesiapa pun akan bertanding, kita akan menggunakan lunas demokrasi untuk memberi tentangan dan kita akan mengangkat agenda rakyat, sekali gus menghapuskan derita rakyat.

"Cuma paling penting, biar siapa pun calon dipilih, rakyat perlu beramai-ramai keluar mengundi" katanya selepas Majlis Pelancaran Jentera P151 Parlimen Simpang Renggam, Ketua Zon dan Ketua Pusat Daerah Mengundi di perkarangan Pejabat PKR Simpang Renggam di sini, hari ini.

Maszlee berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ura-ura bekas Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad akan bertanding di Parlimen Simpang Renggam pada PRU15 nanti.

Sementara itu, Mazlee berkata, kekalahan beliau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang Mac lalu disebabkan beberapa faktor termasuk jumlah keluar mengundi rendah.

"Pada PRN Johor, bilangan undi begitu rendah tidak sampai 60 peratus.

"Bilangan yang pernah mengundi ketika PRU14, ramai yang tidak keluar mengundi dengan sempadan masih belum dibuka (ketika itu), masalah COVID-19, masyarakat Cina pula baru merayakan Tahun Baharu Cina dengan pelbagai sekatan, jadi banyak kekangan mereka gagal mengundi.

"Jadi saya berharap di Simpang Renggam, jika PRU14 dulu boleh capai 80 peratus keluar mengundi ..kita harapkan PRU15 lebih tinggi lagi peratusannya," katanya.

Pada PRU14, penyandang kerusi Parlimen Simpang Renggam bagi dua penggal berturut-turut, Datuk Liang Teck Meng tewas di tangan Maszlee yang mewakili PKR dengan majoriti 3,475 undi.

Teck Meng mendapat 14,682 undian, manakala Maszlee dengan 18,157 undi, manakala calon PAS, Mohd Jubri Selamat pula hilang deposit apabila hanya memperoleh 2,983 undi.

Berita Harian X