Jumaat, 7 Oktober 2022 | 5:11pm
NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Bajet 2023: Hampir RM400 juta tambah baik perkhidmatan bas, udara dan feri

KUALA LUMPUR: Hampir RM400 juta diperuntukkan dalam Bajet 2023 bagi menambah baik perkhidmatan bas henti-henti, pengangkutan udara dan feri di beberapa negeri.

Ia termasuk peruntukan RM180 juta disediakan antara lain bagi menambah baik capaian bas awam untuk penduduk di Melaka, Kota Kinabalu dan Kuching.

Kerajaan juga akan menggantikan 18 bas henti-henti kendalian MARA untuk manfaat penduduk di Kedah.

Selain itu, kerajaan memperuntukkan RM209 juta bagi meneruskan subsidi perkhidmatan pengangkutan udara untuk manfaat penduduk luar bandar, khususnya mereka di pedalaman Sabah dan Sarawak yang menjadikan pengangkutan udara sebagai mod pengangkutan utama.

Kerajaan juga akan menambah baik kemudahan di tujuh lapangan terbang Sabah dan Sarawak, dengan membina 'wheelchair ramp' untuk manfaat 2,300 komuniti berkerusi roda yang menggunakan MASwings.

Dalam pada itu, sejumlah RM9 juta disediakan untuk Jabatan Kerja Raya (JKR) menggantikan feri berusia lebih 34 tahun di Kelantan. Feri itu digunakan kira-kira 30,000 penduduk Tumpat sebagai pengangkutan dari Pengkalan Kubor ke Tak Bai di Narathiwat, Thailand.

Khas untuk pemilik teksi individu pula, kerajaan bersetuju memberi pengecualian duti eksais dan cukai jualan bagi penjualan, pindah milik atau pelupusan teksi, yang diperluaskan kepada teksi eksekutif dan teksi lapangan terbang.

Berita Harian X