Khamis, 6 Oktober 2022 | 1:03pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

BN Terengganu kenakan syarat tambahan jika PAS mahu kerjasama

KUALA TERENGGANU: Barisan Nasional (BN) Terengganu bercadang menetapkan syarat tambahan kepada PAS, jika mahu bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua Bahagian UMNO Besut, Datuk Nawi Mohamad, berkata butiran terperinci syarat tambahan kepada PAS negeri akan dibincangkan pada mesyuarat perhubungan BN minggu depan.

Katanya, syarat tambahan itu perlu dipatuhi jika kepimpinan PAS negeri ikhlas untuk bekerjasama dengan BN bagi menghadapi PRU-15.

"Butiran syarat tambahan itu akan diumumkan selepas dibentangkan pada mesyuarat perhubungan UMNO yang akan dipengerusikan Datuk Seri Dr Ahmad Said," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Syarat tambahan kepada PAS negeri itu menyusul selepas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menetapkan tiga syarat kepada PAS dalam memperkukuh kerjasama rasmi antara dua parti itu bagi menghadapi PRU-15.

Ahad lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, parti itu menetapkan tiga syarat utama kepada PAS iaitu perlu keluar daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) serta memutuskan hubungan politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) serta mengisytiharkan secara rasmi 'mufaraqah' dan bukan hanya sekadar retorik politik.

Mengulas lanjut, Nawi yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Hulu Besut, berkata BN negeri tetap akan bergerak solo jika PAS gagal mematuhi syarat tambahan akan ditetapkan.

Katanya, BN negeri berkeyakinan PAS negeri gagal mematuhi syarat tambahan akan dikeluarkan, selain syarat ditetapkan UMNO pusat.

"Kita menganggap pimpinan PAS bersikap keluk kelik dalam soal mengadakan kerjasama dengan UMNO, terutama bagi menghadapi PRU-15," katanya.

Nawi turut mendedahkan PAS bekerjasama dengan BERSATU dan menyertai PN dengan meninggalkan Muafakat Nasional (MN) selepas Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilantik sebagai Perdana Menteri pada Februari 2020.

"PAS sekali lagi menawarkan diri untuk menjalinkan kerjasama dengan memberi alasan memperkukuhkan hubungan bersama UMNO dan BN apabila Naib Presiden UMNO, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob, dilantik sebagai Perdana Menteri pada Ogos tahun lalu," katanya.

Berita Harian X