Rabu, 5 Oktober 2022 | 6:33pm
Zainal (kanan) dan Noridah (kiri) bersama Nusyakhila (tengah) ketika melawat keluarga itu di kediaman mereka di Kampung Teras Jenang, hari ini
Zainal (kanan) dan Noridah (kiri) bersama Nusyakhila (tengah) ketika melawat keluarga itu di kediaman mereka di Kampung Teras Jenang, hari ini

'Kami yakin Allah akan gantikan dengan sesuatu lebih baik'

KAJANG: Walaupun berhadapan ujian getir kehilangan dua anak serentak, pasangan suami isteri Nusyakhila Hassan dan Zamri Mohd Ali reda dengan ketentuan Ilahi dan menganggap ia satu ujian Allah kepada keluarga mereka.

"Sebelum ini Allah sudah menguji kami dengan kehilangan harta dan punca pendapatan selepas tidak dapat berniaga akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga kami terpaksa hidup serba kekurangan, namun kekuatan kami adalah anak-anak.

"Namun kali ini Allah beri kami ujian yang lebih besar apabila kami kehilangan dua anak secara serentak. Siapa yang tidak sedih.. tetapi kami belajar untuk reda dan terima. Kami yakin Allah akan gantikan dengan sesuatu yang lebih baik.

"Allah hanya pinjamkan mereka sekejap kepada kami dan mereka kini di tempat yang lebih baik. Sejak 'pemergian' mereka, tidak putus-putus orang datang membantu keluarga kami," kata Nursyakhila kepada BH, hari ini.

Beliau ditemui selepas menerima lawatan pihak Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) diketuai Ahli Pemegang Amanah YBK, Zainal Mohd Jais di kediaman keluarga itu di Kampung Teras Jenang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Bangi, Noridah Manap.

Tambah Nursyakhila, beliau dan suami bersyukur ramai pihak tampil membantu keluarganya sejak kejadian itu dan mereka kini berazam untuk bangun semula demi kehidupan yang lebih baik untuk dua lagi anak mereka, Adam Haikal dan Adam Hazriel, masing-masing berusia 14 dan tujuh tahun.

"Kami harap dapat berpindah ke kediaman yang lebih baik dan selamat selain mendapat bantuan untuk memulakan semula perniagaan kedai makan yang kami usahakan sebelum PKP.

"Alhamdulillah ramai pihak tampil mahu membantu, kami amat berterima kasih. Kami cuma mahu pastikan dua anak kami mendapat kehidupan yang lebih baik dan pendidikan yang sempurna," katanya.

Dalam kejadian petang Jumaat lalu, dua beradik, Adam Harish Zamri, 10, dan adiknya, Adam Haziq, 9, yang juga murid SK Bandar Baru Bangi, maut selepas terkena renjatan elektrik ketika mandi dalam kolah di luar kediaman mereka.

Kejadian dipercayai berpunca daripada kebocoran arus wayar Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Sementara itu, Zainal yang ditemui berkata YBK menawarkan bantuan daripada segi pendidikan kepada dua anak Nursyakhila dan Zamri agar mereka dapat bersekolah dalam suasana yang terjamin.

"Kita tawarkan dua anak ini yang bersekolah menengah dan sekolah rendah untuk tinggal di Asrama Kasih YBK di Serendah, Selangor dan Asrama Kasih YBK di Gesir di Kuala Kubu Bharu secara percuma.

"Asrama itu khusus untuk anak-anak yatim serta golongan miskin dan asnaf, dan dalam pada itu, kita usahakan bantuan-bantuan lain secara berterusan daripada semasa ke semasa," katanya.

Norida pula berkata, pihak sekolah bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) akan membantu anak bongsu, Adam Hazriel yang tidak pernah bersekolah.

"Kami dapat tahu yang anak mereka berusia tujuh tahun tidak pernah bersekolah, walaupun pernah didaftarkan namun ada dokumen yang tidak lengkap dan perkara itu sebelum ini di luar pengetahuan kami.

"Kami akan mengambil tindakan membantu keluarga ini untuk memastikan anak itu dapat segera masuk bersekolah dalam Tahun Satu selain memastikan keperluan dan kebajikan anak itu selalu dipantau," katanya.

Berita Harian X