Sabtu, 1 Oktober 2022 | 11:08pm
Wakil TNB menziarah keluarga dua kanak-kanak lelaki yang dipercayai terkena renjatan elektrik di pekarangan rumah mereka di Kampung Teras Jernang, Kajang, Selangor, semalam. - Foto ihsan TNB
Wakil TNB menziarah keluarga dua kanak-kanak lelaki yang dipercayai terkena renjatan elektrik di pekarangan rumah mereka di Kampung Teras Jernang, Kajang, Selangor, semalam. - Foto ihsan TNB

Dua beradik maut: Tiada talian terputus daripada tiang TNB

KUALA LUMPUR: Tiada talian terputus dari tiang Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menimpa bumbung rumah dua kanak-kanak lelaki yang dipercayai terkena renjatan elektrik di perkarangan rumah mereka di Kampung Teras Jernang, Kajang, Selangor, semalam.

TNB dalam kenyataan hari ini, meminta kerjasama orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai punca kejadian sehingga siasatan selesai sepenuhnya sebagai menghormati keluarga mangsa.

"TNB mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa atas kehilangan dua anak lelaki masing-masing berusia sembilan dan 10 tahun itu.

"Susulan kejadian itu, TNB menghantar wakil menziarahi keluarga mangsa dan amat bersimpati atas kejadian menimpa dua beradik berkenaan yang dilaporkan sedang bermain air semasa terkena renjatan daripada kebocoran arus," katanya.

Menurutnya, TNB dan Suruhanjaya Tenaga (ST) sedang menyiasat kejadian berkenaan.

"Siasatan awal mendapati tidak berlaku talian yang terputus daripada tiang TNB dan menimpa bumbung rumah mangsa seperti dakwaan pihak tertentu.

"Wakil TNB yang menziarahi keluarga mangsa turut menyerahkan sumbangan ehsan," katanya.

Berita Harian X