Sabtu, 1 Oktober 2022 | 8:27pm
Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Datuk Seri Mukhriz Mahathir. - FAIL NSTP
Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Datuk Seri Mukhriz Mahathir. - FAIL NSTP

'Apakah PM akan dipecat daripada UMNO jika...'

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mukhriz Mahathir mempersoalkan sama ada UMNO akan mengambil tindakan terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekiranya Perdana Menteri tidak mencadangkan pembubaran Parlimen dalam masa terdekat.

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) itu berkata, berdasarkan pengalaman, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, boleh mengambil tindakan sama seperti pemimpin parti terdahulu dengan memecat Ismail Sabri jika tidak mengikut kehendak memberi laluan supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan tahun ini.

Malah, Mukhriz menyifatkan pemecatan Datuk Zaharin Mohd Yasin dan penggantungan keahlian Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail, sebagai 'tembakan amaran' buat Ismail Sabri.

"(Bekas Perdana Menteri) Najib (Datuk Seri Najib Razak) pernah memecat timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin tanpa melalui mesyuarat (perhimpunan) agung khas UMNO untuk membahas tindakan itu.

"Tentunya Ahmad Zahid juga boleh memecat seorang naib presiden walaupun beliau memegang jawatan Perdana Menteri," katanya kepada BH di sini, hari ini.

Semalam, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat ketetapan supaya PRU-15 diadakan tahun ini dan Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong, selaras Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

Mukhriz yang juga bekas Menteri Besar Kedah, mendakwa satu-satunya sebab UMNO mendesak PRU-15 diadakan tahun ini adalah bagi mengelak lebih ramai pemimpin parti itu dihukum melalui saluran undang-undang, selain bagi membebaskan Najib dari penjara.

Katanya, PEJUANG mengecam tindakan itu berikutan ia mengheret rakyat dalam proses pilihan raya ketika negara berdepan kemungkinan banjir besar seperti diramalkan pakar meteorologi.

"Alasan UMNO adakan PRU-15 dalam tahun ini juga kononnya untuk mengembalikan hak rakyat, membolehkan mandat sebenar diperoleh dan kerajaan stabil dapat dibentuk hanya satu penipuan.

"Semua pihak tahu ini bagi mengelak lebih ramai pemimpin UMNO dihukum dan dipenjarakan, selain untuk melepaskan Najib dari penjara.

"Mungkin rakyat akan menghukum UMNO pula pada PRU-15," katanya.

Berita Harian X