Sabtu, 1 Oktober 2022 | 2:52pm
Lokasi dua beradik maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mandi dalam besen di pekarangan kediaman mereka di Kampung Teras Jenang, Dengkil, semalam.
Lokasi dua beradik maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mandi dalam besen di pekarangan kediaman mereka di Kampung Teras Jenang, Dengkil, semalam.

Dua beradik maut terkena renjatan elektrik ketika mandi dalam besen

PUTRAJAYA: Dua beradik maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mandi dalam besen di pekarangan kediaman mereka di Kampung Teras Jenang, Dengkil, semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata mangsa dikenali sebagai Adam Haziq Zamri, 10, dan adiknya Adam Harish, 9.

Menurutnya, pada 6.30 petang semalam, polis menerima panggilan daripada kakitangan Hospital An Nur, Bandar Baru Bangi memaklumkan menerima dua kanak-kanak dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat terkena renjatan elektrik.

Menurutnya, selepas bantuan pernafasan diberikan pihak hospital, kedua-dua kanak-kanak berkenaan disahkan meninggal dunia.

Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa adalah anak kedua dan ketiga daripada empat beradik.

Beliau berkata, bapa mangsa yang juga peniaga kedai makan memaklumkan kedua-dua anaknya mandi dalam sebuah besen sebelum dia keluar ke kedai membeli barang keperluan.

"Apabila bapa mangsa pulang ke rumah, dia dapati kedua-dua anaknya tidak sedarkan diri dan ketika kejadian ibu mangsa berada di rumah.

"Bapa mangsa memaklumkan kedua-dua anaknya meninggal dunia berpunca dari renjatan elektrik yang mengalir dari besi penyidai baju," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat pengesahan mengenai punca arus elektrik.

"Pihak TNB mengesahkan berlaku geseran dari wayar tepi rumah terus ke zink rumah yang mana menyebabkan wayar itu luka dan arus elektrik mengalir melalui besi penyidai baju.

"Kedua-dua mangsa terkena renjatan elektrik apabila bersentuhan dengan besi penyidai baju yang berada di tempat mandi.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat," katanya.

Berita Harian X