Selasa, 13 September 2022 | 6:49pm
Farrah Naz Karim
Farrah Naz Karim

Farrah Naz dilantik Pengarang Kumpulan NST baharu

Kuala Lumpur: The New Straits Times Press Berhad (NSTP), anak syarikat Media Prima Berhad (Media Prima) mengumumkan pelantikan Farrah Naz Karim sebagai Pengarang Kumpulan akhbar bahasa Inggerisnya, New Straits Times (NST), berkuat kuasa 15 September ini.

Farrah Naz telah berkhidmat di NSTP dalam pelbagai kapasiti sejak tahun 2000 termasuk pernah menyandang jawatan Eksekutif Editor.

Beliau baru-baru ini menyertai Rangkaian Televisyen Media Prima sebagai Penerbit Eksekutif untuk program hal ehwal semasa.

Tugas Farrah Naz di NST sebagai Pengarang Kumpulan adalah selaras dengan strategi NSTP untuk mempertingkatkan lagi penawaran kandungannya.

Pengalaman luas beliau dalam bidang kewartawanan cetak digabungkan dengan pengalaman di televisyen akan menjadi tidak ternilai apabila Media Prima bergerak ke hadapan menyatukan operasi beritanya di seluruh platform medianya.

Pengarang Urusan Kumpulan, Mustapha Kamil Mohd Janor berkata, NSTP akan terus melaksanakan perubahan termasuk dalam kepimpinan di bilik berita selaras perkembangan pesat kemajuan dan persaingan yang semakin meningkat dalam industri media.

"Sebagai Kumpulan, kami telah menunjukkan kemajuan ketara seperti yang dibuktikan melalui prestasi kewangan Media Prima dalam tempoh dua tahun ini.

"Penerbitan lain di bawah NSTP iaitu Harian Metro (HM) dan Berita Harian (BH) ketika ini mendahului segmen audiens digital di Malaysia dan kami berharap NST dapat mencapai tahap sama," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, sebagai akhbar harian bahasa Inggeris yang bertanggungjawab, NST dalam beberapa tahun kebelakangan ini berusaha untuk beroperasi bebas daripada mana-mana pengaruh luar termasuk pengaruh politik.

"Sebagai ahli syarikat tersenarai awam, Kumpulan ditadbir oleh tadbir urus korporat yang ketat dan telus, serta Lembaga Pengarah yang berkebolehan," katanya.

Berita Harian X