KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sudah mengeluarkan notis kepada 197 syarikat tidak berlesen yang menawarkan pakej pelancongan termasuk umrah.
Semua syarikat itu juga berdepan tindakan undang-undang jika gagal mendaftar dengan MOTAC dalam tempoh ditetapkan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata adalah menjadi kesalahan bagi syarikat menawarkan pakej pelancongan namun tidak berdaftar dengan MOTAC.
Katanya, tindakan ke atas semua syarikat berkenaan boleh diambil mengikut Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482), yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM500,000 atau 10 tahun penjara atau kedua-duanya.
"Apabila sesebuah syarikat menjalankan aktiviti pelancongan namun tidak berdaftar dengan MOTAC, perkara itu akan dimaklumkan kepada orang ramai.
"Tindakan itu bertujuan memberi maklum kepada orang ramai supaya berhati-hati kerana ada syarikat yang sudah berdaftar dan lebih telus," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pelancaran program Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA) versi baharu di Kompleks Kraftangan di sini, hari ini.
Nancy mengulas laporan muka hadapan BH hari ini, mengenai 197 syarikat tidak berlesen menawarkan pakej pelancongan termasuk umrah.
Syarikat terbabit berada dalam Senarai Amaran Entiti yang Melanggar Akta Industri Pelancongan 1992 dengan 20 daripadanya dikemas kini pada 10 Ogos lalu.
Nancy menegaskan, semua syarikat berkenaan perlu berdaftar dengan MOTAC untuk memudahkan mereka beroperasi.
"Jika itu tidak dilakukan, MOTAC akan memaklumkan kedudukan itu kepada umum supaya tidak menempah pakej melalui syarikat berkenaan," katanya.