Khamis, 8 September 2022 | 5:52pm

Taktik sindiket simpan dadah dalam but kereta terbongkar

KUALA LUMPUR: Polis tumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang menggunakan taktik menyimpan bahan itu dalam but kereta di lot parkir dalam dua serbuan di sebuah kondominium mewah yang disewa.

Taktik mengabui mata pihak berkuasa itu terbongkar selepas polis menahan tiga lelaki dalam dua serbuan itu di ibu negara dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM115,490, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata tangkapan pertama membabitkan dua lelaki tempatan di sebuah kondominium mewah di Jalan Ampang, kira-kira jam 1.40 tengah hari.

Menerusi tangkapan itu, katanya polis menemui 6.34 gram (g) methamphetamine, 110 biji pil ekstasi seberat 42.96g serta satu ketulan mampat ganja seberat 1.03 kilogram (kg).

"Pada jam lebih 2.35 petang hari yang sama, hasil maklumat dua suspek berkenaan, polis dibawa ke kawasan tempat letak kereta di aras dua kondominium sama dan menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Nissan Sentra yang diparkir di situ.

"Hasil pemeriksaan, kita menjumpai 45 ketulan mampat berbungkus mengandungi daun kering yang disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 44kg dalam but kereta berkenaan.

"Siasatan mendapati kereta itu dijadikan stor simpanan oleh sindiket berkenaan bagi mengelak ia dirampas sekiranya kediaman mereka diserbu dengan petak letak kereta disewa khas daripada pihak kondominium terbabit," katanya dalam sidang media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di sini, hari ini.

Menurut Ashari, hasil soal siasat lanjut pihaknya menahan seorang lagi ahli sindiket di sebuah kawasan rumah setinggan di Sentul pada hari sama yang dipercayai orang kanan sindiket terbabit.

"Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM115,490.

"Kesemua suspek berumur antara 31 tahun hingga 32 tahun dipercayai aktif dalam sindiket pengedaran dadah sejak awal bulan November tahun lalu.

"Ujian saringan air kencing terhadap kesemua saspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine," katanya.

Tambah Ashari, siasatan turut mendapati sindiket ini mendapatkan bekalan dari sebuah negeri di utara tanah air yang dipercayai diseludup dari negara jiran dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan rangkaian sindiket ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah (tengah) bersama pegawai penyiasat menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas ketika sidang media di IPD Wangsa Maju, Kuala Lumpur - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah (tengah) bersama pegawai penyiasat menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas ketika sidang media di IPD Wangsa Maju, Kuala Lumpur - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Berita Harian X