Khamis, 8 September 2022 | 12:44pm
Foto fail NSTP
Foto fail NSTP

MMA nasihatkan orang ramai kekal pakai pelitup muka

KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan supaya terus mengekalkan pemakaian pelitup muka walaupun peraturan mengenainya sudah dilonggarkan.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Koh Kar Chai, berkata ia kerana pemakaian pelitup muka mampu menghalang penularan jangkitan sebaran udara, selain COVID-19.

Malah, katanya, negara ketika ini berdepan jumlah kes jangkitan influenza yang tinggi.

"Penggunaan pelitup muka akan membantu mengawal penularan (penyakit bawaan udara) termasuk influenza.

"Kita masih perlu kekal berwaspada dan sentiasa menyediakan pelitup muka ketika memerlukan.

"Saya yakin rakyat kita cukup matang untuk memahami tanggungjawab sosial selepas berperang dengan COVID-19 lebih dua tahun," katanya dalam kenyataan, semalam.

Semalam, Kementerian Kesihatan memutuskan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan dan kawasan tertutup dijadikan pilihan individu, berkuat kuasa serta-merta.

Pemakaian pelitup muka bagaimanapun masih diwajibkan bagi kes positif COVID-19, dalam pengangkutan awam dan di fasiliti kesihatan seperti hospital, klinik, rumah penjagaan dan pusat hemodialisis.

Pengumuman terbaru itu dibuat selepas empat bulan kerajaan mengumumkan pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka tidak lagi diwajibkan selepas negara memasuki fasa peralihan ke endemik.

Pemakaian pelitup muka hanya wajib bagi individu positif COVID-19, dalam pengangkutan awam dan juga apabila melawat fasiliti kesihatan.
Pemakaian pelitup muka hanya wajib bagi individu positif COVID-19, dalam pengangkutan awam dan juga apabila melawat fasiliti kesihatan.

Berita Harian X