Selasa, 6 September 2022 | 6:56pm
Presiden Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia, Datuk Dr Raj Karim,
Presiden Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia, Datuk Dr Raj Karim,

'Tindakan Youtuber temu bual pelakon remaja satu eksploitasi seksual'

KUALA LUMPUR: Tindakan pihak menemubual pelakon remaja bagi mendedahkan dakwaan perbuatan jenayah bapa pelakon itu dianggap suatu bentuk eksploitasi seksual dan perlu diambil tindakan.

Presiden Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia, Datuk Dr Raj Karim, berkata pihak itu yang merupakan 'Youtuber' tidak mempunyai hak untuk menyiarkan pendedahan pelakon berkenaan kerana tindakan yang didakwa dilakukan bapa pelakon terbabit adalah suatu bentuk perbuatan jenayah.

Sehubungan itu beliau berkata, mana-mana pihak yang terbabit dalam penyiaran kandungan di media sosial perlu mengikut garis panduan ditetapkan dalam menemubual kanak-kanak bagi mengelakkan mereka mengeksploitasi golongan berkenaan demi mengejar tontonan yang tinggi.

"Apa tujuan 'Youtuber' itu? Dengan pendedahan melalui temubual itu, kanak-kanak terbabit sudah dieksploitasi sebanyak dua kali iaitu oleh bapanya (jika benar dakwaan) dan pihak yang menemubualnya.

"Kita ada garis panduan jika ingin menemubual kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan seksual termasuk mendapat kebenaran dari ibu atau bapa mereka dan tidak boleh dilakukan di tempat awam.

"Kalau di pihak kebajikan yang ingin menemubual mangsa penderaan seksual perlu adanya kaunselor dan perlu peka terhadap gangguan emosi mangsa.

"Kita sendiri tidak tahu bagaimana 'Youtuber' ini mendekati pelakon ini namun yang pasti tindakannya itu adalah tidak betul kerana ia disiarkan secara terbuka," katanya kepada BH.

Pada masa sama, Raj berkata tindakan pelakon berusia 15 tahun itu mendedahkan berhubung pengalaman pahitnya dikhuatiri memberi kesan jangka panjang termasuk kemurungan dan malu.

Beliau berkata, pelakon itu sepatutnya mendapatkan pertolongan daripada pihak berkuasa termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan membuat laporan polis jika benar berdepan gangguan seksual daripada ayahnya sendiri.

Sebelum ini, pelakon remaja berkenaan ketika ditemubual dalam sebuah saluran Youtube, mendakwa dirinya menjadi mangsa gangguan seksual bapanya sendiri.

Berita Harian X