Isnin, 5 September 2022 | 6:29pm
GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Lebih RM32 juta tunggakan PERKESO tidak dijelas

KUALA LUMPUR: Lebih RM32 juta tunggakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kakitangan kontrak sebuah jabatan kerajaan didakwa masih tidak dijelaskan sejak 2013 sehingga kini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat, berkata justeru pihaknya menggesa jabatan dan agensi kerajaan persekutuan dan negeri, termasuk Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mendaftar serta membayar caruman PERKESO bagi kakitangan kontrak/sementara mulai tarikh kuat kuasa 1 Jun 2013 sekiranya masih belum berbuat demikian.

Katanya, ingatan itu disuarakan CUEPACS memandangkan terdapat sebuah jabatan kerajaan yang masih belum menjelaskan caruman kepada PERKESO bagi tahun 2013 sehingga 2020 dengan jumlah tunggakan carumah sebanyak RM32,151,063.80.

"Tunggakan dalam tempoh berkenaan perlu disegerakan bagi mengelakkan kakitangan jabatan itu terjejas atau berisiko tidak menerima perlindungan keselamatan sosial khasnya di bawah Skim Keilatan kerana tidak memenuhi syarat caruman seperti yang dikehendaki mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

"Sebagai majikan, adalah menjadi kewajipan untuk memastikan setiap kakitangan kontrak dan sementara membuat caruman PERKESO bagi membolehkan mereka menikmati perlindungan yang sewajarnya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kerajaan melalui PERKESO mengikut Akta 4 meluaskan liputan perlindungan terhadap pekerja bertaraf kontrak dan sementara yang dikuatkuasakan terhadap semua Jabatan serta Agensi Kerajaan mulai 1 Jun 2013 melalui Pemberitahuan Keselamatan Sosial Pekerja P.U (B) 239 dan 240.

Perluasan keselamatan sosial di bawah Skim Bencana Pekerjaan (SBK) dan Skim Keilatan (SK) ini bertujuan memberi perlindungan yang lebih baik kepada pekerja di sektor awam dan setara dengan pekerja sektor swasta di samping mengekalkan keharmonian serta kerjasama antara kerajaan, majikan dan pekerja.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, kegagalan mematuhi arahan ini adalah satu kesalahan yang boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 94, Akta 4 serta Peraturan-peraturan (AM) Keselamatan Sosial Pekerja 1971 yang boleh membawa hukuman penjara selama dua tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-dua sekali.

Beliau berkata, pelbagai faedah disediakan di bawah SBK dan SK antaranya Faedah Hilang Upaya Sementara, Hilang Upaya Kekal, Pencen Penakat, Pencen Ilat, Faedah Orang Tanggungan, Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Perubatan, Rawatan Dialisis dan Faedah Pemulihan Jasmani/ Vokasional.

Selain itu, katanya, pencarum juga boleh menikmati rawatan yang disediakan oleh Pusat Rehabilitasi PERKESO di bawah Program kembali bekerja.

"Adalah amat dikesali sekiranya hak sebagai pekerja walaupun berstatus kontrak/sementara untuk mendapatkan perlindungan tersebut terhalang disebabkan kegagalan majikan masing-masing melakukan caruman kepada PERKESO.

"CUEPACS berharap kerajaan tegas dalam hal yang membabitkan keselamatan dan kebajikan pekerja walaupun berstatus kontrak atau sementara," katanya.

Berita Harian X