Isnin, 5 September 2022 | 10:29am
Foto hiasan - Fail NSTP
Foto hiasan - Fail NSTP

Hampir RM400b atasi isu banjir hingga 2100

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka memerlukan peruntukan sekurang-kurangnya RM392 bilion untuk tempoh 78 tahun akan datang bagi mengatasi masalah banjir di negara ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata langkah jangka panjang sehingga 2100 itu merangkumi komponen utama tebatan banjir dan saliran bandar serta infrastruktur pantai.

Katanya, pelaburan kerajaan untuk menangani isu perubahan iklim itu sudah bermula menerusi peruntukan besar RM15 bilion kepada sektor air negara.

"Peruntukan RM15 bilion secara 'off budget' bermula 2023 hingga 2030 bagi projek tebatan dan penyelesaian banjir serta pembinaan struktur sabo di kawasan kritikal yang terjejas teruk akibat Monsun Timur Laut.

"Untuk langkah jangka panjang sehingga 2100, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menganggarkan peruntukan RM392 bilion diperlukan bagi mengatasi masalah banjir di Malaysia.

"Anggaran kos ini antara lain merangkumi komponen utama tebatan banjir dan saliran bandar sebanyak RM230.71 bilion serta infrastruktur pantai RM126.55 bilion," katanya ketika berucap dalam Simposium Perubahan Iklim 2022 di Parlimen, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan.

Tuan Ibrahim berkata, KASA komited memastikan kesejahteraan rakyat melalui langkah jangka sederhana dan jangka panjang, khususnya pembangunan infrastruktur perlindungan bagi bencana berkaitan air.

Katanya, faktor perubahan iklim turut diambil kira dalam penyediaan reka bentuk pembangunan bagi memastikan infrastruktur air yang dibangunkan berdaya tahan terhadap kesan fenomena perubahan iklim.

Selain itu, katanya, KASA giat merangka pelaksanaan adaptasi perubahan iklim.

"Peningkatan suhu global akan meningkatkan risiko bencana dan kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat dan ekonomi.

"Dalam hal ini, kerajaan membangunkan Agenda Transformasi Sektor Air Negara 2040 bermula dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) hingga RMK-15.

"Agenda ini turut memberi fokus kepada usaha pengukuhan tadbir urus sektor termasuklah mengarusperdanakan adaptasi dalam pengurusan risiko banjir.

"Ini mengambil kira integrasi pengurusan risiko bencana melalui mitigasi jangka panjang dan jangka pendek pengurusan banjir yang membabitkan pendekatan secara struktur dan bukan struktur," katanya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, akan mengetuai delegasi negara ke Sidang Kemuncak Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP27) pada 6 November depan di Sharm El-Sheikh, Mesir.

Jelasnya, penyertaan Malaysia dalam persidangan itu bagi memastikan pembabitan negara dalam proses rundingan perubahan iklim itu turut mengambil kira kepentingan negara.

"Kehadiran Perdana Menteri akan menggambarkan komitmen tinggi dan tindakan progresif negara untuk menangani cabaran perubahan iklim," katanya.

Berita Harian X