Ahad, 4 September 2022 | 12:21pm

KKM umum ketetapan baharu pelitup muka Rabu ini

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuat pengumuman mengenai ketetapan baharu pemakaian pelitup muka selewat-lewatnya Rabu ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata Jawatankuasa Eksekutif Kesihatan Awam yang dipengerusikannya sudah menerima syor daripada pakar mengenai pemakaian pelitup muka minggu lalu.

Bagaimanapun, beliau masih dalam proses mengumpul pandangan orang ramai berhubung perkara itu, sebelum mengumumkan keputusan baharu mengenai pemakaian pelitup muka pada Rabu ini.

"Kita sudah mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Kesihatan Awam yang dipengerusikan oleh saya minggu lalu.

"Dulu, jawatankuasa ini hanya melihat kepada isu COVID-19, tetapi sekarang kita lihat kepada semua masalah kesihatan awam.

"Saya sudah terima syor daripada pakar-pakar kita dan masih lagi mengumpul maklum balas pandangan daripada orang ramai. Minggu depan saya akan umumkan mengenai pemakaian pelitup muka. Saya akan umumkan menjelang Rabu ini," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutupan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2022 di sini, hari ini.

Bermula 1 Mei lalu, KKM mengumumkan kelonggaran pemakaian pelitup muka apabila ia tidak lagi diwajibkan di luar bangunan dan kawasan terbuka, namun pelitup muka masih wajib dipakai apabila berada di dalam bangunan dan pengangkutan awam termasuk e-hailing.

Penguatkuasaan pemakaian pelitup muka adalah berdasarkan peruntukan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Mengulas mengenai tempoh negara memasuki fasa endemik COVID-19, Khairy memaklumkan Malaysia masih belum mencapai kriteria untuk memasuki endemik, khususnya dalam aspek kesihatan awam.

Katanya, terdapat tiga kriteria yang perlu dipenuhi sebelum penularan COVID-19 di negara ini boleh diisytihar sebagai endemik, iaitu pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penguatkuasaan Akta 342 serta indikator kesihatan awam.

Setakat ini, katanya, WHO masih mengekalkan COVID-19 sebagai Kecemasan Kesihatan bagi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC), manakala kuat kuasa Akta 342 dilanjutkan sehingga Disember depan.

"Untuk indikator kesihatan, kita kena tanya pakar penyakit berjangkit dan pakar epidemiologi apakah maksud endemik dalam konteks COVID-19 kerana status endemik adalah berbeza bagi setiap penyakit.

"Kita tak boleh cakap, contohnya malaria atau tibi atau polio angkanya begini sudah endemik, maka untuk COVID-19 bila angkanya begini pun sudah endemik juga.

"Ini kerana COVID-19 memiliki kadar jangkitan yang tinggi, jadi dalam keadaan COVID-19 masih lagi bermutasi dengan varian yang tak diketahui, kita perlu fikir dan rujuk kepada pakar penyakit berjangkit dan epidemiologi apa keadaan yang boleh dianggap sebagai endemik iaitu langsung tiada apa-apa sekatan.

"Jadi belum lagi keadaan untuk kita mengisytiharkan endemik lagi kerana kita nak kena tengok mutasi, varian baharu, kebolehjangkitan varian baharu, barulah kita yakin boleh diisytihar endemik," katanya.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. - Foto NSTP
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. - Foto NSTP
Berita Harian X