Jumaat, 2 September 2022 | 10:13am

Anak penyu berkepala dua ditemukan

DUNGUN: Anak penyu agar berkepala dua ditemukan di Projek Konservasi Lang Tengah Turtle Watch di Tanjong Jara Resort, Terengganu.

Pengurus Projek Konservasi Penyu, Lang Tengah Turtle Watch, Abidah Zaaba, berkata anak penyu itu dijumpai ketika kerja pemeriksaan pada Selasa lalu selepas telur di sarang berkenaan menetas.

"Ini penemuan kali kedua dan mencatatkan sejarah buat kami di sini kerana anak penyu berkepala dua ini masih hidup. Kali pertama ditemui pada Jun tahun lepas bagaimanapun, ia ditemui mati di dalam telur," katanya.

Abidah berkata, sebelum itu pihaknya mengeramkan sebanyak 110 biji telur penyu di dalam sebuah sarang di situ pada 1 julai lalu.

"Selama hampir dua bulan dieramkan, anak penyu mula menetas dan sebanyak 57 ekor berjaya menetas dengan selamat termasuk anak penyu berkepala dua itu," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut memeriksa 53 baki telur yang gagal menetas dan salah satu telur berkenaan terdapat anak penyu kembar namun sudah mati.

"Anak penyu berkepala dua itu dihantar ke Pusat Penerangan dan Informasi Penyu di Rantau Abang kerana pihak kami tiada kepakaran dan pengalaman menjaga anak penyu seperti itu," katanya.

"Biasanya penyu berkepala dua ini tidak dapat hidup lama namun kita berharap berlaku keajaiban dan ia dapat hidup dengan lebih lama," katanya.

Abidah berkata, sejak beroperasi di sini pada 2016 hingga Ogos tahun ini, sebanyak 93,660 telur penyu dan tuntung laut berjaya dieram serta 66,037 anak penyu berjaya menetas dan dilepaskan semula ke laut.

"Setakat ini, lebih daripada 115 lagi sarang yang mengandungi kira-kira 75 hingga 100 biji telur sedang dieramkan di sini dan ia menunggu masa untuk menetas," katanya.

Abidah menunjukkan gambar anak penyu berkepala dua baru menetas ditemukan di Projek Konservasi Lang Tengah Turtle Watch di Terengganu. - Foto NSTP/Rosli Ilham
Abidah menunjukkan gambar anak penyu berkepala dua baru menetas ditemukan di Projek Konservasi Lang Tengah Turtle Watch di Terengganu. - Foto NSTP/Rosli Ilham
Berita Harian X