Jumaat, 30 September 2022 | 3:24pm
Mohammad tiga dari kiri) diiringi Md Silmi (dua dari kanan) teruja melihat pameran ternakan udang kara ketika Sesi Libat Urus Teraju Bersama Pegawai Penyelaras Aduan Jabatan Perdana Menteri di Langkawi. - Foto NSTP/Hamzah Osman
Mohammad tiga dari kiri) diiringi Md Silmi (dua dari kanan) teruja melihat pameran ternakan udang kara ketika Sesi Libat Urus Teraju Bersama Pegawai Penyelaras Aduan Jabatan Perdana Menteri di Langkawi. - Foto NSTP/Hamzah Osman

TERAJU salur RM21.25 juta pacu usahawan Bumiputera di Langkawi

LANGKAWI: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) memperuntukkan dana RM21.25 juta membantu usahawan Bumiputera di daerah ini dalam tempoh 11 tahun lalu.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Mohammad Ismail, berkata dana disalurkan bagi menjayakan 10 projek pembangunan.

"Pembiayaan dilakukan di bawah Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB), Dana Mudahcara (FF) dan Dana Kemakmuran Bumiputera (DKB).

"Impak projek amat baik apabila mencipta 600 peluang pekerjaan," katanya pada sidang media selepas Sesi Libat Urus Teraju Bersama Pegawai Penyelaras Aduan JPM di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Datuk Md Silmi Abd Rahman.

Mohammad berkata, projek pembangunan dilaksanakan di pulau ini turut bertujuan membantu menawarkan lebih banyak produk dan merancakkan sektor pelancongan.

"Difahamkan, sejumlah 3.1 juta pelancong melawat pulau ini pada 2019, manakala bagi tujuh bulan pertama tahun ini seramai 1.17 juta orang," katanya.

Beliau berkata, sesi libat urus terbabit disajikan dengan perkongsian pengalaman, taklimat dan pameran oleh penerima manfaat TERAJU sekitar Langkawi.

"Antaranya, projek meningkatkan pertanian akuakultur multitrofik (IMTA) bersepadu bagi rumpai laut dan lobster diusahakan Universiti Sains Malaysia.

"Selainnya, projek pembinaan resort bertaraf antarabangsa berkonsepkan vila persendirian dan pembangunan semula Kampung Buku Malaysia," katanya.

Berita Harian X