Rabu, 28 September 2022 | 3:22pm

'Saya cadang pengadu buat laporan polis di Sabah' - Saksi

TENOM: Pakar motivasi yang juga saksi pertama pendakwaan kes gangguan seksual membabitkan pendakwah, Ebit Lew, memaklumkan dirinya ada mencadangkan supaya pengadu wanita kes itu membuat laporan polis di Sabah.

Bagaimanapun, Mohd Fairuz Abu, menyatakan keputusan membuat laporan polis di Bukit Aman adalah pilihan pengadu sendiri selepas membuat perbincangan dengan suaminya.

"Ia datang daripada pihak pengadu sendiri dan suami sebabnya seperti yang saya sebutkan semalam.

"Pengadu memberitahu dia takut membuat laporan polis di Balai Polis Tenom disebabkan ada saudaranya yang bertugas di balai berkenaan.

"Tenom ini sebuah daerah kecil dan ramai orang boleh tahu kalau dia buat 'report'(laporan polis)," katanya ketika prosiding hari kedua berkaitan perbicaraan kes gangguan seksual yang dikaitkan dengan pendakwah itu.

Mohd Fairuz berkata demikian menjawab soalan peguam, Ram Sigh, pada sesi pemeriksaan balas, di sini, hari ini.

Perbicaraan bagi sesi pagi berkaitan kes gangguan seksual dihadapi Ebit ditangguh 12.30 tengah hari tadi dan disambung semula jam 2.30 petang.

Terdahulu, Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 37, tiba di perkarangan Mahkamah Majistret Tenom kira-kira jam 10.15 pagi dengan menaiki pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser warna hitam, selain diiringi beberapa kenderaan lain.

Ebit menghadapi 11 pertuduhan, antaranya didakwa mengaibkan kehormatan seorang wanita tahun dengan menghantar gambar dan perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun tahun lalu.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ebit (kiri) keluar dari Mahkamah Majistret Tenom selepas perbicaraan ditangguh jam 12.30 tengah hari tadi. - NSTP/ JUWAN RIDUAN
Ebit (kiri) keluar dari Mahkamah Majistret Tenom selepas perbicaraan ditangguh jam 12.30 tengah hari tadi. - NSTP/ JUWAN RIDUAN
Berita Harian X