Isnin, 26 September 2022 | 8:42pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Takut kena marah, murid reka cerita 'gempar' dalam laporan polis

KULIM: Hanya kerana bimbang dimarahi keluarga kerana lewat pulang ke rumah, seorang murid lelaki Tahun Empat sanggup membuat laporan polis palsu kononnya berdepan detik cemas cubaan menculik di Taman Angsana, di sini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, berkata hasil siasatan lanjut mendapati kanak-kanak itu sengaja mereka-reka cerita insiden berkenaan dalam laporan dibuat pada 17 September lalu.

Berdasarkan laporan polis itu, beliau berkata, murid terbabit mendakwa dia bersama abangnya berusia 13 tahun, berada di sebuah kawasan perumahan sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang bertanya mereka mengenai lokasi sebuah sekolah, kira-kira jam 3.30 petang.

"Kanak-kanak itu mendakwa, dia bersama abangnya kemudian pergi menunjukkan lokasi sekolah berkenaan kepada lelaki terbabit. Dia juga mendakwa ketika dalam perjalanan, lelaki itu berhenti membuang air kecil di kawasan hutan berhampiran.

"Dia seterusnya mendakwa terdengar lelaki berkenaan memberitahu seorang rakan yang dihubungi melalui telefon bimbit mengenai rancangan untuk menculiknya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wan Hassan berkata, kanak-kanak itu mendakwa justeru dia terpaksa berlari ke jalan besar dan meminta pertolongan seorang lelaki tidak dikenali untuk membantu menghantarnya pulang.

"Bagaimanapun, hasil siasatan lanjut mendapati kanak-kanak itu membuat laporan polis kerana bimbang dimarahi keluarga selepas dia lewat pulang ke rumah.

"Kita sudah memanggil ibu bapa murid itu untuk memberi penerangan berhubung kes terbabit. Kes itu diklasifikasikan sebagai tiada berlaku sebarang kesalahan (NOD)," katanya.

Sehubungan itu, polis menafikan berlaku kes cubaan menculik membabitkan murid berkenaan sebagaimana mesej yang tular dalam media sosial, hari ini, selepas ia dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook (FB).

Mesej itu mendakwa, mangsa berjaya melepaskan diri selepas bergelut dengan penculik berhampiran kolam udang di belakang sebuah sekolah.

Bagaimanapun, Wan Hassan berkata, pemilik akaun FB itu sudah memadamkan status dimuat naik berkenaan, dan orang ramai dinasihati supaya jangan mudah mempercayai serta menyebarkan berita belum dipastikan sahih, terutama jika membabitkan isu sensitif.

Berita Harian X