Isnin, 26 September 2022 | 1:04pm
(Gambar fail) Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani. - NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
(Gambar fail) Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani. - NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

Pelajar, belia dijangka jadi sasaran baharu 'scammer'

KUALA LUMPUR: Golongan pelajar dan belia dijangka menjadi sasaran baharu sindiket penipuan dalam talian atau 'scammer', terutama membabitkan urusan pinjaman wang serta keldai akaun, dengan menggunakan pelbagai modus operandi jenayah siber pada masa depan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata kelicikan penjenayah siber mengeksploitasi perubahan teknologi dan kreatif menjerat mangsa, menjadi antara punca peningkatan kes jenayah itu.

Selain itu, beliau berkata, kesedaran masyarakat yang masih pada tahap sederhana mengenai jenayah siber, turut menyumbang kepada gejala berkenaan.

"Justeru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melihat wujudnya keperluan untuk menyebar luas ilmu pengetahuan kepada masyarakat supaya mereka dapat mengelak daripada menjadi mangsa kegiatan jenayah itu.

"Ini kerana jenayah kewangan boleh membawa impak negatif kepada mangsa dan menyebabkan lambakan kes jenayah membabitkan keldai akaun akibat akaun bank yang disalahgunakan bagi tujuan penipuan.

"Malah, kegiatan jenayah kewangan sebegini turut memberi kesan jangka panjang kepada ekonomi dan keselamatan negara, termasuk menggugat kemajuan ekonomi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pameran Maya Jenayah Kewangan: Semak Sebelum Diperdaya anjuran Muzium Galeri Seni, Bank Negara Malaysia (BNM) yang disiarkan secara langsung melalui laman sosial Facebook, hari ini.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Mengulas lanjut, Acryl Sani memaklumkan, tujuh jenis jenayah kewangan utama membabitkan penipuan dalam talian ialah belian dalam talian, pinjaman tidak wujud, pelaburan dalam talian, Macau Scam, African Scam, pintasan e-mel dan penipuan SMS.

Beliau berkata, tujuh jenis jenayah itu menunjukkan trend meningkat dalam tempoh tiga tahun, iaitu 13,703 kes membabitkan kerugian RM539 juta pada 2019, meningkat kepada 17,227 kes dengan kerugian RM511.2 juta (2020), disusuli 20,701 kes dengan kerugian RM560.8 juta (2021).

Dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini pula, katanya, sebanyak 12,092 kes direkod membabitkan kerugian bernilai RM414.8 juta.

Acryl Sani berkata, seramai 33,147 suspek kes penipuan siber ditangkap dan 22,196 kes berjaya dituduh di mahkamah, sepanjang tempoh tiga tahun berkenaan.

Beliau berkata, PDRM bekerjasama dengan institusi perbankan dalam memastikan siasatan kes, khususnya membabitkan penggunaan keldai akaun, dapat dilengkapkan lebih cepat mengikut peruntukan Kanun Keseksaan dan akta berkaitan.

Berita Harian X