Isnin, 26 September 2022 | 12:58pm
Bank Negara Malaysia mengumumkan 5 langkah kawalan tambahan yang perlu diambil institusi kewangan bagi mengukuhkan perlindungan terhadap penipuan kewangan terutamanya dalam talian.
Bank Negara Malaysia mengumumkan 5 langkah kawalan tambahan yang perlu diambil institusi kewangan bagi mengukuhkan perlindungan terhadap penipuan kewangan terutamanya dalam talian.

Bank Negara umum 5 lima langkah tambahan elak penipuan kewangan

KUALA LUMPUR: Semua institusi kewangan perlu melaksanakan lima langkah tambahan bagi mengukuhkan perlindungan terhadap penipuan atau 'scam' kewangan.

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan lima langkah kawalan tambahan itu pada Pameran Jenayah Kewangan yang dianjurkan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata langkah itu adalah peralihan daripada penggunaan kata laluan sekali saja (OTP) yang berasaskan SMS kepada kaedah pengesahan yang lebih selamat; mengetatkan lagi peraturan pengesanan dan pencetus bagi menyekat transaksi berkaitan dengan penipuan kewangan; menetapkan tempoh bertenang untuk pendaftaran perkhidmatan perbankan dalam talian atau peranti selamat buat kali pertama.

Beliau berkata, dua lagi kawalan tambahan adalah, pelanggan akan dihadkan kepada satu peranti mudah alih atau peranti selamat untuk pengesahan transaksi perbankan dalam talian; dan bank-bank akan dikehendaki mewujudkan talian penting yang khusus untuk penipuan kewangan.

"BNM bersama-sama dengan industri kewangan akan terus memastikan saluran perbankan dan pembayaran kekal selamat dan dilengkapi kawalan keselamatan yang terkini.

"Usaha membanteras jenayah kewangan juga memerlukan sokongan semua pihak. Sebagai pengguna, setiap daripada kita bertanggungjawab untuk melindungi diri daripada ancaman penipuan kewangan.

"Harapan kami adalah supaya Pameran Jenayah Kewangan dapat membantu usaha mendidik orang ramai untuk melindungi diri daripada penipuan kewangan," katanya berucap pada pelancaran pameran itu di Muzium dan Galeri Seni BNM secara maya.

Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Nor Shamsiah turut memaklumkan bahawa BNM akan terus menguar-uarkan maklumat terkini berkenaan dengan penipuan kewangan melalui laman Facebook Amaran Scam iaitu https://facebook.com/amaranpenipuan.

Sementara itu, Acryl Sani dalam ucapannya berkata, kelicikan penjenayah siber mengeksploit perubahan teknologi dan menjerat mangsa secara kreatif melalui pelbagai modus operandi baharu, serta kesedaran masyarakat mengenai jenayah siber yang masih berada pada tahap sederhana, telah dikenal pasti sebagai antara punca kes jenayah tersebut meningkat.

"Oleh itu, PDRM peka akan wujudnya keperluan untuk menyebar luas seberapa banyak ilmu pengetahuan kepada masyarakat supaya mereka dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa aktiviti jenayah terbabit," katanya.

Orang ramai dinasihatkan supaya melindungi maklumat peribadi mereka dan mengelakkan daripada memuat turun fail atau aplikasi daripada sumber yang tidak disahkan ke dalam peranti mudah alih.

Pemegang akaun yang mendapati wujudnya transaksi yang mencurigakan berhubung dengan akaun bank mereka perlu segera memaklumkan bank mereka; menghubungi talian Scam Response Centre, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (Commercial Crime Investigation Department, CCID) melalui talian 03-2610 1559/1599 atau BNMTELELINK melalui talian 1-300-88-5465; dan membuat laporan polis untuk membantu siasatan.

Pameran Jenayah Kewangan memaparkan pelbagai jenis jenayah kewangan yang lazim di Malaysia serta evolusinya mengikut peredaran masa.

Pameran ini mengandungi ciri-ciri interaktif yang membolehkan orang ramai membuat simulasi tentang senario penipuan kewangan.

Melalui pelbagai bahan pameran, orang ramai akan mengetahui strategi Soal, Sekat dan Sebar (3S) untuk melindungi diri dan orang lain daripada menjadi mangsa.

Berita Harian X