Isnin, 26 September 2022 | 12:44pm
Secara keseluruhan jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 populasi pada ME38/2022 antara 18 hingga 24 September lalu, menunjukkan penurunan berbanding ME37/2022.
Secara keseluruhan jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 populasi pada ME38/2022 antara 18 hingga 24 September lalu, menunjukkan penurunan berbanding ME37/2022.

Kes positif dipantau CAC meningkat

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan secara keseluruhan jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 populasi pada ME38/2022 antara 18 hingga 24 September lalu, menunjukkan penurunan berbanding ME37/2022.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata penurunan 7.1 peratus dikesan bagi pesakit kategori 1 dan 2 manakala pesakit kategori 3, 4 dan 5, menurun sebanyak 11.5 peratus.

Beliau berkata, peratus pengisian katil fasiliti COVID-19 pada ME 38/2022 berbanding ME 37/2022 juga menunjukkan penurunan iaitu masing-masing 1 peratus bagi katil bukan kritikal dan katil Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) serta 2 peratus bagi penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU).

Turut menunjukkan penurunan kadar penggunaan adalah peratusan pesakit COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) yang menurun 0.2 peratus.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata, kes-kes positif COVID-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara menunjukkan peningkatan bilangan kes baharu yang menjalani pemantauan di rumah.

"Bilangan kedatangan pesakit ke CAC menurun 0.5 peratus; bilangan kes COVID-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah meningkat 102 peratus; dan bilangan kes COVID-19 yang dirujuk CAC ke hospital adalah sama dengan ME 37," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pun begitu, Dr Noor Hisham berkata, trend kes aktif harian COVID-19 yang dipantau secara maya (CAC Maya), menunjukkan penurunan 0.47 peratus pada akhir ME38/2022 berbanding pada akhir ME37/2022 iaitu daripada 30,965 kes kepada 30,819 kes.

Beliau berkata, KKM juga mendapati bilangan kes sembuh pada ME 38/2022 menurun sebanyak 5.8 peratus iaitu 14,513 kes kepada 13,677 kes dan bilangan kes baharu pada ME 38/2022 menurun sebanyak 4.9 peratus (13,627 kes kepada 12,963 kes).

Turut menunjukkan penurunan adalah bilangan kes tempatan sebanyak 4.8 peratus (13,585 kes kepada 12,934 kes); dan bilangan kes import iaitu penurunan sebanyak 31.0 peratus (42 kes kepada 29 kes).

"Bilangan kes kematian pada ME 38/2022 pula meningkat sebanyak 29.0 peratus (31 kes kepada 40 kes).

"Purata kes aktif setiap hari bagi ME 38/2022 adalah 25,325 iaitu terdapat penurunan sebanyak 4.0 peratus

berbanding minggu sebelumnya," katanya.

Bermula 25 Januari 2020 (ME 4/2020) hingga 24 September lalu, Malaysia mencatatkan sebanyak 4,830,214 jumlah kumulatif kes baharu dengan 4,768,604 kes sembuh serta 36,348 kes kematian.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 7,079 kluster jangkitan juga dikesan sepanjang tempoh berkenaan dengan 14 kluster masih aktif ketika ini.

Sementara itu, beliau berkata, hasil pemantauan COVID-19 di lokasi sentinel di seluruh negara mendapati sehingga ME 38/2022, sebanyak 109 sampel Penyakit Seperti Influenza (ILI) dikesan positif COVID-19 dengan kadar positif 14.9 peratus dan sebanyak 2.7 peratus sampel Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dikesan positif COVID-19.

Berita Harian X