Isnin, 26 September 2022 | 12:12pm

Matt Henry berotot bukan untuk dijual

KUALA TERENGGANU: Seekor lembu baka berusia 13 bulan menarik perhatian ramai kerana bentuk fizikalnya yang berotot, berbeza daripada kebiasaan lembu baka.

Anak lembu baka charolais hiribo itu tular di media sosial sebelum ini kerana pernah ditawarkan dengan harga RM19,000.

Pemiliknya, Mohd Nasrul Hakimi Mohd Noor, 34, berkata lembu yang dipanggil Matt Henry itu menjadi popular sejak gambarnya tular di media.

"Ramai penternak yang ingin membeli Matt Henry tetapi saya tidak bercadang untuk menjualnya.

"Paling tinggi penternak menawarkan harga RM19,000 untuk membeli Matt Henry.

"Memandangkan Matt Henry masih dalam kategori anak lembu, harga yang ditawarkan itu sudah tinggi daripada kebiasaan tetapi bagi saya duit bukan segala-galanya," katanya.

Menurut Mohd Nasrul, dia akan tetap menyimpan lembu bakanya itu sehingga berusia lebih dua tahun.

"Saya tidak pernah temui lembu baka charolais yang berketul-ketul atau berotot seperti Matt Henry.

"Oleh itu saya berhasrat untuk melihat sendiri perkembangan lembu baka charolais hiribo itu apabila meningkat dewasa.

"Lazimnya, lembu baka yang tular disebabkan saiznya yang besar, gemuk dan berat tetapi lembu itu tidak berotot seperti Matt Henry," katanya.

Katanya, dia mempunyai lebih 50 lembu baka charolais dan limosin malah ada yang berharga sehingga RM50,000 seekor.

"Saya memiliki banyak lembu baka yang berkualiti namun lembu baka charolais hiribo itu yang paling disayangi dan sentiasa menarik perhatian ramai," katanya yang berasal dari Kampung Perupok, Bachok, Kelantan.

Katanya, dia bercita-cita ingin menjadi penternak lembu baka yang berjaya seterusnya mengeluarkan lembu baka berkualiti tinggi.

"Seronok menternak lembu baka itu, selain permintaannya tinggi ia juga berharga mahal, " katanya.

Mohd Nasrul Hakimi bersama lembu baka charolais hiribo yang dipanggil Matt Henry dan pernah ditawarkan dengan harga RM19,000.- Foto NSTP/Ahmad Rabiul Zulkifli
Mohd Nasrul Hakimi bersama lembu baka charolais hiribo yang dipanggil Matt Henry dan pernah ditawarkan dengan harga RM19,000.- Foto NSTP/Ahmad Rabiul Zulkifli
Berita Harian X