Jumaat, 23 September 2022 | 6:18pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Syarat pemindahan babi, produk berkaitan dari Perak diperketatkan

PUTRAJAYA: Syarat pemindahan babi dan produk berkaitan haiwan berkenaan dari Perak ke seluruh Semenanjung kini diperketatkan berikutan penularan penyakit demam babi Afrika atau 'African swine fever' (ASF) yang dikesan menjangkiti dua ladang ternakan komersial di daerah Kerian.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) memaklumkan selain itu, pihaknya turut mempergiatkan survelan lapangan dan siasatan serta persampelan pada babi komersial di ladang dan rumah sembelih.

Selaras dengan itu, katanya, semua ladang babi komersial diminta memperkukuh amalan dan kemudahan biosekuriti di premis masing-masing bagi mencegah kemasukan penyakit ASF.

"Antaranya pagar perimeter mestilah lengkap bagi mengelak pencerobohan orang dan haiwan liar (termasuk babi hutan). Penternak juga dinasihatkan untuk tidak menghantar babi ke rumah sembelih sekiranya ada tanda klinikal disyaki penyakit di ladang.

"Kenderaan pengangkut babi mesti melalui proses disinfeksi secara menyeluruh meliputi permukaan luar dan dalam lori, sebelum dan selepas keluar dari kawasan rumah sembelih.

"Proses disinfeksi ini meliputi keseluruhan termasuk pakaian dan peralatan ladang menggunakan disinfektan yang bersesuaian mengikut sukatan dan bancuhan yang dinyatakan pada label," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, JPV mengesahkan penyakit demam babi Afrika dikesan menjangkiti dua ladang ternakan komersial di daerah Kerian, Perak.

Bagaimanapun, jabatan itu memaklumkan penularan wabak adalah terkawal dengan jangkitan hanya berlaku di daerah berkenaan. JPV memaklumkan pengesanan itu dibuat melalui ujian tindak balas rantaian polimer (PCR) yang dijalankan Institut Penyelidikan Veterinar di Ipoh dengan pemindahan keluar babi dan produk berkaitan haiwan berkenaan dari zon pemantauan dikawal dengan ketat.

Dalam pada itu, JPV berkata, beberapa langkah perlu dilakukan bagi mengekang penularan wabak berkenaan dan menasihatkan pelawat untuk tidak berkongsi kenderaan yang mengangkut babi dengan ladang lain.

"Penternak dan pekerja ladang babi turut dinasihatkan untuk tidak melawat ladang babi yang lain bagi mengurangkan risiko jangkitan ASF serta perlu melalui proses disinfeksi sebelum dan selepas keluar dari kawasan ladang.

"Orang ramai adalah dinasihatkan untuk tidak membeli babi hidup secara terus dari ladang atau kenderaan pengangkut babi serta tidak panik, kerana penyakit ASF adalah tidak zoonotik (tidak berjangkit kepada manusia)," katanya.

Dalam pada itu, JPV memaklumkan setakat ini tiada laporan atau aduan kematian babi yang diterima di daerah Kerian namun sekiranya berlaku sebarang kematian luar jangka, orang ramai atau berkaitan perlu melaporkannya dalam kadar segera.

"Kematian luar biasa iaitu melebihi lima ekor sehari tanpa mengira peringkat umur di ladang babi komersial atau lebih tiga ekor atau lori di rumah sembelih atau mempunyai tanda klinikal disyaki penyakit berjangkit di ladang babi mahupun rumah sembelih, ia perlu dilaporkan segera.

"DVS boleh dihubungi melalui Perkhidmatan Veterinar Daerah (PPVD) dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri yang berdekatan atau terus ke Hotline Bilik Pengurusan Krisis Jabatan Perkhidmatan Veterinar Putrajaya menerusi 03-8870 2041," katanya.

Sementara itu, mengenai situasi terkini dua ladang ternakan yang dijangkiti wabak berkenaan, JPV berkata proses pemusnahan babi dan penanaman bangkai haiwan berkenaan kini sudah selesai.

JPV memaklumkan untuk proses penyitaan, penutupan dan proses disinfeksi dua ladang babi komersial itu kini sedang giat dijalankan.

Berita Harian X